Semasa

Agong, Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara hari ini Seri Paduka berdoa agar segala pengorbanan rakyat Malaysia dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan negara akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

“Seri Paduka turut berdoa semoga jemaah Haji Malaysia memperoleh Haji yang mabrur dan selamat pulang ke tanah air tercinta“, menurut catatan itu.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan 15 orang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Menurut Istana Negara Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dengan keizinan Allah SWT telah berangkat untuk berwukuf di Arafah dan seterusnya bermabit di Muzdalifah semalam (27 Jun).

Turut berangkat adalah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut sama mengiringi ialah paduka-paduka anakanda Seri Paduka.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Sultan Selangor berkenan berangkat bersama menziarahi makam dan Raudhah Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W. di Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi 5 hari lalu.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua seterusnya akan menyempurnakan tawaf dan saie haji di Masjidil Haram pada hari ini (28 Jun) bersamaan 10 Zulhijjah 1444H.

“Seri Paduka menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah dikurniakan keafiatan untuk berwukuf di Arafah dan bermabit di Muzdalifah sebagai persiapan peringkat akhir haji“, menurut catatan itu.

Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Julai ini.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji pada Selasa, 27 Jun, manakala Aidiladha disambut hari ini.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha esok (29 Jun).

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button