KUALA LUMPUR : Insiden pengeboman bunuh diri yang menyasarkan sebuah masjid di Kandahar, selatan Afghanistan mendapat kecaman hebat dari Sekretariat Umum Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) .
Kejadian yang berlaku pada Jumaat lepas, mengorbankan puluhan jemaah.
OIC tegas menyatakan segala tindakan jenayah atau keganasan tidak akan diterima walau apa jua alasan sekali pun.
Menurut laporan Bernama, dalam kenyataan yang dikeluarkan Sektretariat Jeneral di Jeddah, pihaknya mengutuk serangan kejam itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap mereka yang cedera sembuh dengan kadar segera.
Insiden ketika solat Jumaat itu adalah yang ketiga berlaku pada Oktober. Kejadian pertama pada 3 Oktober 2021 di Masjid Eid Gah di Kabul, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang. Lima hari kemudian, satu lagi kejadian pengeboman bunuh diri berlaku di sebuah masjid di Kunduz yang meragut lebih 80 nyawa.
Oleh Nurshazlin Shahrom