BANGI : Perjuangan beliau dalam membela nasib ummah di 40 buah negara telah memberi inspirasi kepada ramai bagi melibatkan diri dalam kerja-kerja kemanusiaan.
Terkini, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), (Dr.) Sani Araby Al-Kahery telah dilantik sebagai Yang Amat Setia Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas).
Khabar membanggakan itu telah mendapat perhatian daripada organisasi yang menguruskan misi palestina untuk delegasi dunia – Miles of Smiles United Kingdom (UK) sebuah pertubuhan kebajikan antarabangsa terkenal yang berpangkalan di United Kingdom, Dr. Essam Yousef yang turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan tersebut.
“Kami sedia maklum berita mengenai pelantikan anda sebagai Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia oleh Menteri Pejabat Perdana Menteri Malaysia.
“Saya dengan ini merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada anda dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan anda sepanjang menjawat jawatan ini dan berharap ia akan memberi manfaat kepada ummah,” katanya.
Untuk rekod, MAPIM sudah lama menjalinkan kerjasama dengan Miles of Smiles, dan yang terbaru pada April 2020, MAPIM Malaysia dengan kerjasama Miles of Smiles, menyerahkan 10 buah ambulans untuk kegunaan penduduk Gaza, yang ketika itu bergelut dengan pandemik Covid-19.