Shamsa al-Ali, 65, membina dan menjual tandoor atau ketuhar tanah liat tradisional di daerah Tal Abyad di utara Syria untuk menanggung enam cucunya yang yatim piatu.
Pada 2015, Shamsa kehilangan anak lelaki tunggalnya dalam serangan udara tentera pimpinan AS di wilayah Deir ez-Zor.
Shamsa berhijrah ke Raqqa dari Deir ez-Zor, yang menjadi pusat serangan kumpulan pengganas YPG/PKK dan pasukan gabungan.
Wilayah Deir ez-Zor, timur Sungai Euphrates, kini diduduki oleh kumpulan pengganas YPG/PKK.
Keluarga Shamsa, yang terdiri daripada enam cucu berusia 8 hingga 13 tahun menetap di perkampungan Hawija, selatan Tal Abyad, yang telah dibersihkan daripada pengganas dalam Operasi Mata Air Keamanan Türkiye 2019.
Menurut Anadolu, Shamsa berkata, membuat tandoor adalah pekerjaan yang sukar memandangkan usia dan keadaannya.
“Menguli tanah liat dengan garam, air dan jerami adalah proses yang sangat sukar . Saya hanya boleh membuat lima atau enam tandoor dalam sebulan,” tambahnya.
“Saya mengumpul kadbod dari kedai sepanjang tahun untuk memastikan cucu saya berasa hangat semasa musim sejuk. Kami mempunyai makanan yang sangat terhad,” kata Shamsa.
Nenek itu melahirkan rasa bimbang terhadap masa depan cucu-cucunya.
Syria telah terkunci dalam perang saudara yang kejam sejak awal 2011 apabila rejim Bashar al-Assad bertindak keras terhadap protes pro-demokrasi.
Tal Abyad telah dibebaskan daripada pengganas YPG/PKK oleh Angkatan Bersenjata Turki dan Tentera Kebangsaan Syria pada 13 Okt. 2019, semasa operasi memerangi keganasan Türkiye di utara Syria.
Dalam kempen keganasan selama lebih 30 tahun terhadap Turkiye, PKK yang disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turki, A.S. dan Kesatuan Eropah telah bertanggungjawab ke atas kematian 40,000 orang, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi. YPG ialah cabang Syria PKK.