Semasa

Negara dalam bahaya – MAPIM mendesak operasi Mossad di Malaysia diperangi

Bangi : Malaysia dikejutkan dengan penahanan agen Mossad yang merupakan penduduk tempatan berdasarkan daripada laporan berita NST. Operasi agen Mossad yang menyasarkan pejuang Palestin di Malaysia secara jelas mencabar kedaulatan negara.

Berdasarkan laporan berita NST itu juga, pihak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), melalui Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid mengeluarkan kecaman keras kepada pihak Mossad dan zionis.

Menurut beliau, “Kegiatan espionaj Mossad di seluruh dunia bukan perkara baharu. Mengupah orang tempatan terutama kumpulan gangster lokal dengan bayaran lumayan cukup mudah diguna.

Kami mendesak pihak kerajaan, ahli politik dan agensi keselamatan melakukan tindakan pantas dan tegas membenteras agensi zionis ini beroperasi di negara ini.”

Beliau juga menggesa semua NGO di Malaysia bangkit untuk mengecam zionis Israel dan agensi penjenayah Mossad dan melancarkan kempen memerangi mereka yang sanggup menjadi tali barut Mossad.

Suatu perhimpunan membantah keras insiden penculikkan warga Palestin terbaru dan mengugut nyawa pejuang Palestin di Malaysia akan diatur.

MAPIM turut menyenaraikan lima cadangan untuk tindakan susulan iaitu :

1. Kerajaan mengeluarkan kenyataan tegas kepada Mossad bahawa agensi penjenayah itu tidak boleh dibenarkan beroperasi di bumi Malaysia.

2. Pimpinan parti politik dan kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan mengecam Mossad dan tidak berkompromi sama sekali terhadap agensi itu.

3. Suatu nota bantahan perlu dihantar kepada Israel melalui Amerika Syarikat yang menjadi penyokong kuat Israel .

4. Pihak keselamatan Malaysia memantau sebarang operasi menggunakan warga Malaysia sebagai agen Mossad atau mana-mana agen luar yang mengancam keselamatan negara.

5 . Malaysia menghantar surat khas kepada pihak Palestin untuk menjamin keselamatan mana-mana warga Palestin di Malaysia dan bertindak menyelamat mereka yang menjadi sasaran Mossad

(Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia

Dalam pada masa yang sama Ketua Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery berkata, “Sekiranya benar berita yang kita dengar tentang penahanan agen Mossad di Malaysia, itu adalah bukti bahawa pihak keselamatan Malaysia mempunyai kemampuan setara dengan negara kuasa besar dan kita ucapkan syabas. Namun, dalam masa yang sama, ia juga petanda bahawa Mossad kini semakin aktif merekrut agen daripada penduduk Malaysia sendiri. Untuk kami, ia adalah satu bentuk pengkhianatan, dan satu tindakan menyeluruh perlu diambil bagi menguatkan lagi jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.”

Related Articles

Back to top button