COPENHAGEN: Nasib orang awam di Ukraine kini dalam tahap sangat membimbangkan berikutan pencerobohan tentera Russia, kata Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge.
“Saya amat bimbang mengenai keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan orang awam di Ukraine. Saya juga bimbang kemajuan ketara yang dibuat dalam mengukuhkan sistem kesihatan di Ukraine dalam beberapa tahun kebelakangan ini boleh terjejas.
“Risiko kesihatan serta-merta berkaitan dengan kematian, kerana kami menerima laporan pertempuran dan tembakan dari seluruh negara. Hospital akan memerlukan bekalan kecemasan segera, termasuk ubat-ubatan dan kit pembedahan serta kes trauma,” katanya.
Pada masa ini, kit perubatan pembedahan sedang disediakan pihak WHO di Dubai untuk dihantar ke Ukraine, melalui Poland.
Sehubungan itu, Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan tenteranya untuk menyerang Ukraine dan pencerobohan itu meragut puluhan nyawa serta menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Pada Jumaat, tentera Ukraine bertempur dengan tentera Russia di ibu kota Kyiv.
Kluge berkata, WHO menggerakkan ketiga-tiga peringkat organisasinya bagi menyokong krisis kemanusiaan yang berlaku dengan cepat.
“Pasukan global, serantau dan negara lain diselaraskan untuk menyampaikan sokongan kesihatan ke Ukraine dan negara sekitarnya,” katanya.
Beliau menambah, keutamaan WHO di Ukraine sudah beralih kepada penyediaan perkhidmatan kecemasan, penjagaan trauma, memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan, penyediaan khidmat kesihatan mental dan sokongan psiko-sosial.
Bagaimanapun, katanya ubat-ubatan dan vaksin masih diperlukan.
WHO sedang bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsi lain untuk memastikan koridor kemanusiaan dapat disediakan bagi membantu menyelamatkan nyawa.
– AFP
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today