Covid19Semasa

Industri buku semakin sihat?

Semenjak pandemik covid-19 melanda, antara industri yang terjejas adalah industri buku. Sebelum pandemik, jualan di kedai-kedai buku walaupun tidak seperti masa gemilangnya, masih antara perolehan terbesar syarikat penerbitan.

Semasa pandemik melanda, untuk beberapa bulan awal kedai buku terpaksa ditutup, kilang cetak ditutup, dan syarikat penerbitan berjuang bagi mengurangkan kos. Ada yang terpaksa memberi cuti tanpa gaji, ada yang terpaksa memberhentikan pekerja.

Dalam tempoh yang kelam itu, tanpa disangka, jualan dalam talian pula melonjak sehingga menjadi antara sinar harapan industri buku. Sehingga kini, jualan atas talian sangat rancak dan mencanak. Buku-buku baru mampu kembali diterbitkan dan syarikat penerbitan kembali merekrut pekerja baru.

Tetapi adakah ia tanda industri buku semakin sihat?

Sihat di sini kita boleh bahagikan kepada dua, sihat daripada kualiti, dan sihat daripada segi ekonomi. Kualiti adalah lebih subjektif sifatnya, dan daripada segi ekonomi adalah sesuatu yang boleh diukur, dan dalam tempoh ini, sihat daripada segi ekonomi sangat perlu.

Menurut CEO Bookcafe.com.my, Tuan Hairul Faizal Adli, jualan online memang sangat menggalakkan. Bookcafe bukan sahaja menjual terus daripada laman webnya, tetapi juga mereka menjalankan sistem dropship dan juga affiliate. Sehingga sekarang, jumlah dropship bookcafe sentiasa bertambah dari hari ke hari, dan pendapatan mereka ada yang mencecah lima angka.

Petugas bookcafe.com.my sibuk membungkus pesanan buku
Pesanan buku setiap hari

Sedia untuk dipos

Perkara yang sama dikongsikan oleh Tuan MK Riza. Beliau adalah pemain industri yang kental. Beliau bukan sahaja menjadi editor buku, beliau juga adalah penulis, penceramah penulisan, dan juga penjual buku sendiri.

Menurutnya, ‘job’ untuk suntingan buku masih ada tanda masih banyak buku mahu diterbitkan, manakala jualan buku atas talian juga semakin baik.

“Kita perlu ubah cara pemasaran kita. Dahulu kita tunggu pelanggan datang cari buku, sekarang kita yang kena cari pelanggan. Malah, saya sendiri sebagai dropship, saya ada kelebihan kerana boleh memberikan sentuhan personal kepada pembeli buku, dan pelanggan akan rasa lebih dihargai. Jualan semakin baik.”

MK Riza dengan personal touch nya

Persoalan yang sama dilontarkan kepada Tuan Alif seorang kartunis dan penulis buku. Menurutnya, dia mengakui memang dia agak terkesan. Dahulu boleh serah sahaja kepada penerbit, dan penerbit yang akan menguruskan semua dari A sampai Z. Sekiranya terlibat pun hanya dalam bahagian promosi dan pemasaran buku. Itu cara tradisional dan sekarang, cara itu sudah tidak nampak mampu diteruskan sekiranya mahu hidup dengan duit buku.

“Sekarang, masa hadapan adalah kita terbit sendiri. Ramai yang buat. Cuma renyah sikit sebab banyak benda kena uruskan sendiri. Untuk mudah, aku juga terbit buku dengan Amazon. Aku cuma hantar softcopy, nanti urusan jual beli dan pemasaran semua Amazon uruskan. Cetakan pun Amazon uruskan. Kekurangannya, ia dalam bahasa English. Ramai juga salah anggap, jual buku di Amazon ni kena buku yang banyak ilustrasi dan kanak-kanak. Tetapi data menunjukkan novel-novel cinta yang laku di Amazon.”

Alif Firdaus, menjual di Amazon

Alif Firdaus juga mencadangkan, penulis baru bagi mencuba menulis kisah-kisah pendek yang dibukukan. Ini kerana pada zaman pandemik ini, masa untuk membaca itu ada, tetapi oleh kerana ramai yang baru mahu bermula, mereka mahu bermula dengan sesuatu yang ringan dan pendek.

Pada kesimpulannya, industri buku memang sudah nampak semakin sihat. Cuma mengharapkan ia sihat seperti zaman gemilangnya dahulu, mungkin ia masih agak jauh. Industri buku masih perlu bersaing dengan telefon pintar dan industri streaming filem yang semakin bercambah.

Itu hakikat baru yang perlu dimaklumi oleh semua pemain industri. Buku tetap akan wujud, cuma kadangkala ia akan ‘demam’, dan perlu ‘ubat’. Sehingga setakat ini, ‘ubat’ industri banyak datangnya daripada orang industri sendiri. Mengharapkan ‘ubat’ atau ‘vaksin’ daripada pihak kerajaan, pasti hanya menambah luka.

Related Articles

Back to top button