Semasa

Nahas pesawat di Elmina: “Adik sayang Mama..” ucapan terakhir juruterbang

KLANG: “Adik sayang Mama…”, itulah kata-kata terakhir yang dilafazkan oleh juruterbang pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) Allahyarham Shahrul Kamal Roslan dalam perbualan bersama ibunya dua bulan lalu sebelum terlibat dalam nahas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, petang Khamis.

Mahanum Ismail, 67, berkata sehingga kini, ayat yang diungkap oleh anak bongsu daripada dua beradik itu masih terngiang-ngiang ketika Allahyarham Shahrul Kamal menghubunginya semasa dia dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur pada 24 Julai lepas.

Kredit foto PIBG SK Tmn Melawati

“Dia anak yang sangat manja dan kali terakhir saya bercakap dengannya adalah semasa saya di hospital, sehari sebelum saya menjalani pembedahan… sebelum meletakkan telefon, dia memberitahu saya adik sayang mama“, katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui BERNAMA di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Warga emas itu yang kelihatan lemah kerana baru selesai menjalani pembedahan usus dan hempedu terpaksa beberapa kali berhenti bercakap dek terlalu sedih dengan nahas yang menimpa anaknya.

Beliau juga memaklumkan akan berbincang dengan ahli keluarga bagi pengurusan pengebumian sama ada jenazah anaknya itu disemadikan berhampiran kediaman keluarga mereka di Taman Melawati, Kuala Lumpur atau di tanah perkuburan Bukit Jelutong, Shah Alam yang berdekatan dengan rumah Allahyarham Shahrul Kamal.

Beliau meninggalkan seorang balu dan empat anak lelaki berusia lingkungan 3 hingga 12 tahun.

Bermula jam 9 pagi tadi, operasi mengesan kemungkinan baki cebisan jenazah mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina semalam disambung hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi berkata operasi hari ini menumpukan kepada proses sweeping di lokasi kejadian.

Pada petang Khamis, 10 lelaki disahkan maut dalam kejadian itu.

Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Terdahulu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan Elmina pada petang Khamis.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi, insiden itu sangat menyayat hati semua rakyat Malaysia serta sangat mengejutkan dan menyedihkan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button