PUTRAJAYA : Murid bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini tidak dibenarkan untuk kembali semula ke asrama, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sebaliknya mereka perlu melaksanakan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dirumah masing-masing.
“Keputusan itu dibuat bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama dibawah KPM dipertingkatkan selain melindungi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat serta teratur.
“Pada masa sama, kami juga akan meningkatkan pemantauan di sekolah harian supaya SOP itu dapat dipatuhi dengan baik,” katanya menerusi satu hantaran laman Facebook.
Menurutnya, sekiranya mengalami apa-apa gejala, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah bagi memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan selamat.
“Saya mohon jasa baik ibu bapa untuk memastikan anak tidak hadir ke sekolah jika ada sebarang gejala,” tambahnya.