Murid asrama, KV, KTE pulang berperingkat 6 & 7 Mei
KUALA LUMPUR: Murid di asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) atau Kolej Vokasional (KV) dibenarkan pulang secara berperingkat sempena cuti Aidilfitri mulai 6 dan 7 Mei ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan, berkata murid dibenarkan pulang dengan menaiki bas disediakan pihak sekolah, dijemput ibu bapa atau penjaga serta pengangkutan udara atau air bagi perjalanan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Pihak sekolah akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga. Sekiranya ibu bapa atau penjaga menjemput anak mereka, surat pengesahan bagi tujuan pergerakan ibu bapa merentas negeri akan dikeluarkan oleh pihak sekolah. ”
“Kebenaran ini adalah untuk dua orang ibu bapa atau penjaga dalam setiap kenderaan,”
Kementerian Pendidikan berkata demikian dalam satu kenyataan media, pada Sabtu (1 Mei)
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), murid yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal di asrama sehingga tamat tempoh kuarantin.
Murid yang asramanya berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu kekal di asrama sehingga tamat tempoh PKPD.
“KPM sudah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang sempena Aidilfitri 2021 sebagai rujukan kepada pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga.
“Garis panduan ini turut terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM dan boleh dimuat turun di laman sesawang:Â https://www.moe.gov.my,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, murid perlu kembali ke asrama sebelum atau pada 12 Jun bagi sekolah Kumpulan A dan sebelum atau pada 13 Jun bagi sekolah Kumpulan B.