TAPAH: Tragedi maut membabitkan seorang wanita selepas motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis sebuah lori di Kilometer (KM) 57, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, pagi tadi.
Dalam nahas kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa, M Sarasa, 50, beralamat di FELDA Trolak Utara, Sungkai, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke arah Ipoh.
Wan Azharuddin berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan terjatuh di atas jalan raya.
“Kemudian datang sebuah lori tanpa muatan dipandu oleh seorang lelaki berumur 67 tahun yang menuju ke arah sama tidak sempat mengelak dan menggilis mangsa, tetapi lelaki tersebut tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Wan Azharuddin, mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today