Monsun Barat Daya: APM wujud pasukan khas, pantau risiko bencana
TANJUNG SEPAT: Kerajaan menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mewujudkan satu pasukan pemantauan secara rondaan di lokasi titik panas yang berisiko mengalami bencana sepanjang tempoh Monsun Barat Daya.
Monsun Barat Daya yang bermula sejak pertengahan Mei lepas dan dijangka berterusan sehingga September ini, menyebabkan berlaku taburan hujan lebih rendah di kebanyakan tempat dalam tempoh itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata berkata, pasukan pemantauan yang diwujudkan sejak 26 Mei lalu menerusi Op Ramah itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat serta informasi tentang risiko bencana bakal dihadapi.
“Op Ramah melibatkan seramai 427 anggota bantuan tambahan APM tidak termasuk 10,510 anggota tugasan harian kecemasan dan bencana,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan Op Ramah di sekitar Tanjung Sepat, hari ini.
Beliau berkata, setakat 10 Julai lalu, sebanyak 2,072 aduan melibatkan kes antaranya pembakaran terbuka, pelupusan sampah dan pencemaran sungai yang diperoleh daripada anggota sukarela telah disalurkan terus kepada agensi yang berkaitan untuk tindakan.
Tambah beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah antara agensi yang memberi respons terhadap kes yang dilaporkan.
Pada masa sama, katanya, semua pihak perlu mempunyai kemahiran pengurusan bencana dengan berpandukan kepada program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM) yang merupakan latihan bagi memperkasa masyarakat dalam menghadapi bencana melalui strategi persediaan, pemantauan, tindakan dan pemulihan.
“Kemahiran asas (perlu ada pada) masyarakat terutama berhadapan dengan sesuatu bencana agar mereka tahu (bertindak) tanpa menunggu bantuan agensi kerajaan sebelum bencana dan risiko itu menjadi lebih besar,” katanya.
BACA JUGA
MAPIM Malaysia dinobat CDERT Bintang Emas oleh APM