
Kuala Lumpur – Mobile Clinic kalini menyantuni penduduk di Dewan PAM, Seksyen 10, Wangsa Maju, hasil usaha sama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menjadikan program yang dilaksanakan ini mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan penduduk.
Kehadiran penduduk pada hari pertama ini, direkodkan seramai lebih 30 orang pesakit yang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Menurut Nor Hayati Dakir, beliau teruja dengan idea Mobile Clinic yang menggunakan bas ‘double decker’ untuk memberi rawatan pesakit, beliau juga bersyukur dapat menerima rawatan daripada doktor yang berkaliber.
“Saya sangat teruja melihat bas Mobile Clinic ini, tidak sangka bas seperti ini mampu digunakan untuk memberi rawatan kepada masyarakat. Tambahan pula, doktor yang disediakan sangat mesra dan komited dalam memberikan rawatan kepada pesakit”katanya.
Tambahnya lagi, beliau mencadangkan program klinik bergerak ini diteruskan supaya dapat menyantuni masyarakat dan memudahkan mereka supaya tidak perlu untuk ke klinik lagi.
Program Mobile Clinic MAIWP ini dijayakan dengan bantuan empat orang petugas sukarelawan MAPIM Malaysia dan dua orang petugas pegawai perubatan. Penglibatan mereka memudahkan lagi pengurusan pesakit yang memerlukan.
Program Mobile Clinic MAIWP akan diteruskan lagi pada hari esok bermula jam 10.00 pagi sehingga 3.00 petang.
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today