PUTRAJAYA : Sepanjang program Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ini beroperasi, sudah ramai penduduk di sekitar Wilayah Persekutuan khususnya di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menerima manfaatnya.
Program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM tidak terhad di kawasan kediaman penduduk malah ia turut menawarkan perkhidmatan kesihatan pada acara-acara tertentu. Yang terbaru Mobile Clinic menerima jemputan bagi menjadi antara perkhidmatan yang ditawarkan dalam Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.
Menurut pegawai pentadbiran korporat MAPIM Malaysia, Norashikin Md Isa, banyak cabaran yang dihadapi sepanjang beliau menguruskan program bas klinik bergerak ini terutamanya dalam pencarian lokasi yang sesuai bagi membolehkan lebih ramai orang yang menerima manfaatnya.
“Sudah pasti banyak cabaran yang diharungi, namun segala duka telah diubati apabila rata-rata masyarakat yang menerima khidmat mobile clinic MAIWP-MAPIM ini memberi maklum balas positif dan memuji layanan yang diberikan oleh sukarelawan dan doktor yang bertugas.
“Kadang kala, mereka menjadi selesa untuk berkongsi cerita yang tidak berkaitan dengan kesihatan kepada doktor, sekali gus menunjukkan dalam masa yang sama ukhwah telah terjalin bersama orang ramai ,” katanya
Dalam pada itu, UMMAHToday sempat menemu bual seorang pengunjung yang memberikan pujian terhadap usaha murni MAIWP dan MAPIM memberi kemudahan kepada orang ramai.
Rokiah Osman, 69, yang berkerusi roda akibat strok menzahirkan rasa kagum terhadap layanan mesra oleh sukarelawan yang bertugas di Mobile Clinic.
“Doktor semua baik-baik, senang dan berurusan dan dapatkan nasihat kesihatan dari mereka, terima kasih saya ucapkan kepada setiap pihak terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.
“Saya berharap agar ia diteruskan lagi pada masa akan datang dan dilaksanakan di seluruh Malaysia bagi memudahkan penduduk yang kurang berkemampuan membuat konsultasi untuk mengetahui tahap kesihatan mereka,” katanya.
Mobile Clinic MAIWP-MAPIM yang kini berada di Anjung Floria untuk festival Floria dikuatkan dengan kehadiran dua orang doktor sukarelawan. Seramai 51 pengunjung telah menerima pemeriksaan kesihatan percuma pada hari pertama festival.
Terdahulu, Ummah Today melaporkan KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2022 di Presint 4 setelah lebih dua tahun ditangguh berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Floria Diraja tahun ini bertemakan ‘FLORIA Hebat’ dan memilih bunga orkid sebagai bunga tema pada kali ini dan dibuka kepada pengunjung dari jam 9 pagi hingga 10 malam.