DomestikSemasa

Misi pascabanjir: APM diarah hantar anggota sukarelawan

IPOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diarahkan untuk menghantar anggota sukarelawan bagi membantu misi pascabanjir di kawasan yang terjejas.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata arahan itu dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali bagi menggantikan 180 pegawai sukarelawan yang dihantar daripada negeri lain.

Secara keseluruhan terdapat lebih 10,000 anggota sukarelawan yang masih aktif dan berdaftar. Di Johor sahaja, kita telah mempunyai lebih 1,200 anggota yang terlibat dan bekerjasama dengan pasukan sukarelawan Southern Volunteers.

Saya lihat gerak kerja sukarelawan di negeri itu sangat tinggi. Bayangkan kalau 40,000 mangsa yang terjejas banjir, kita hendak bergerak tanpa penglibatan sukarelawan ini saya rasa gabung semua agensi terlibat pun belum tentu mampu. Perlu ada bantuan para sukarelawan,” kata Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Setia APM Negeri Perak sempena Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2023 di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Aminurrahim berkata bagi misi pascabanjir di Johor, pihaknya sedang menunggu keperluan menghantar anggota sukarelawan kerana negeri tersebut mempunyai sebuah jawatankuasa yang menilai segala keperluan.

Sementara itu, APM menyasarkan satu negeri satu Kampung Siaga 221 dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan persiapan awal penduduk sekiranya berdepan sebarang bencana.

“Di negeri ini kita telah melancarkannya pada 11 Mac dan dirasmikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Trolak Pekan. Kita ingin latih masyarakat supaya boleh memberi maklum balas tanpa menunggu agensi keselamatan.”

“Perkara itu menjadi sasaran kepada APM bahawa Kampung Siaga 221 ini perlu ada di setiap negeri. Seterusnya, akan dikembangkan ke kawasan yang merupakan hotspot bencana dan kecemasan yang boleh menjejaskan harta benda awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon pihak terlibat supaya menyemak semula permohonan untuk APM menyertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Bermula 1990-an, APM ditawarkan untuk menyertai SMART namun ketika itu kita tidak mempunyai banyak jawatan yang tetap jadi perlu menangguh dan menolaknya.”

“Tahun lepas saya bersama Menteri Tugas-Tugas Khas mengangkat APM untuk terlibat dalam pasukan tersebut. Kami sedia maklum bahawa pasukan ini tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) 19 untuk menilai keperluan untuk menambah anggota atau memberikan kepelbagaian dalam SMART,” katanya.

BACA JUGA
MAPIM Malaysia dinobat CDERT Bintang Emas oleh APM

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button