Menteri Kesihatan diperintah jalani pengawasan rumah
Kontak rapat media swasta yang positif Covid-19
PUTRAJAYA : Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba diperintahkan menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) sehingga 18 Disember depan, selepas menjadi kontak rapat seorang petugas media swasta yang disahkan positif Covid-19.
“Perintah ini dikeluarkan kerana penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) Putrajaya mendapati saya adalah kontak rapat kepada seorang petugas media swasta yang hadir ke pejabat saya pada hari Sabtu lepas.”
Perkara tersebut dimaklumkan oleh beliau menerusi status yang dimuat naik Facebook rasminya di sini hari ini.
“Beliau didapati positif Covid-19 dan bergejala,” katanya menerusi status tersebut di sini hari ini.
Dalam pada itu, Adham berkata, beliau akan bekerja dari rumah termasuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan melalui sidang maya sehingga tamat perintah HSO.