Hidup kadang kala terasa kosong biarpun dikelilingi insan tersayang, pangkat, harta juga pujian manusia.
Sudah menjadi pola hidup manusia untuk menetapkan matlamat dalam kehidupan dan haruslah dikecapi dengan apa jua cara sekalipun.
Namun, setelah matlamat itu tercapai, mengapa dalam diri masih ada rasa lompong? Rasa tidak tenang dan ada kalanya rasa gelisah menerpa.
Meskipun kadang kita sudah meluahkan rasa itu kepada orang, tetapi masih tidak ada yang berubah.
Jadi, bagaimana untuk merawat diri yang kosong? Ketahuilah setiap penyakit itu ada penawar.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” [Riwayat al-Bukhari (5678)]
Kembali kepada sang Pencipta
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tidak ada satu hamba pun yang tertinggal dan terlepas dari rahmat-Nya.
Setiap kali kita bernafas itulah tanda cinta dan kasih Allah terhadap kita.
Jika kita terasa kosong dalam diri, kembalilah sujud kepada-Nya.
Apabila tiba di kemuncak kekosongan diri, semak kembali ibadah kita.
Jika tidak cukup solat fardu, cukupkanlah.
Jika cukup, semak pula solat sunat. Imbas kembali bila kali terakhir kita solat taubat dan solat tahajud?
Bersegera kembali kepada Allah SWT dapat menjadi kayu ukur untuk kita menilai dan melihat, di manakah sebenarnya kita meletakkan Allah SWT dalam kehidupan di dunia ini.
Konsisten dalam melakukan kebaikan
Jangan memandang remeh akan kelebihan dalam melakukan kebaikan.
Melakukan kebaikan tidak semestinya melibatkan wang ringgit. Amalan baik walaupun kecil dilakukan berterusan lebih Allah sukai daripada amalan baik yang dilakukan banyak namun tidak konsisten. Allah tidak memandang kuantiti tetapi kualiti.
Allah SWT berfirman dalam surah Asy-Asyura ayat 23 yang bermaksud :
“…Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu yang baik, kami tambahi kebaikan baginya kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya.”
Meditasi
Bagi yang bukan beragama Islam, meditasi mungkin antara alternatif lain untuk menghilangkan rasa kosong dalam diri.
Ketika dilanda kecemasan, depresi, atau stres, meditasi menjadi salah satu cara mudah untuk mengatasinya. Kaedah meditasi amat mudah dengan hanya duduk diam bertujuan untuk mengolah konsentrasi.
Meditasi dapat dilakukan pelbagai tempat yang penting selesa dan lebih baik kawasan yang tidak bising.
Dengan kaedah ini individu mungkin merasa lebih tenang dan dapat kembali fokus mencari tujuan hidup.
Hindarkan diri daripada keburukan
Mendekatkan diri dengan keburukan atau maksiat sememangnya akan menjadi magnet kepada kemusnahan hidup.
Mengisi kekosongan diri dengan perkara yang dilarang oleh Allah SWT akan menjerumus seseorang itu ke kancah binasa.
Contohnya, minum arak yang disangka ubat hilangkan stres tetapi ia menjadikan akal tidak menentu. Pelbagai lagi masalah yang bertandang kerana maksiat tersebut.
Tinggalkan perkara yang mendatangkan keburukan itu adalah jalan yang paling baik. Kemanisannya mungkin cepat dirasai tetapi cepat juga mematikan diri.
Percayalah maksiat tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Kesimpulannya, Allah SWT adalah pemegang hati setiap manusia. Seseorang yang bergelar manusia dan masih bernafas di muka bumi ini pasti akan diuji mengikut kemampuannya.
Bersangka baik terhadap Allah SWT dan yakinlah bahawa Allah maha mengetahui dan Dialah yang memberi rezeki.
Sentiasa beringat bahawasanya kita dilahirkan mulia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 70 :
“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam dan kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan kami berikan rezeki kepada mereka dan yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan mahkluk yang telah kami ciptakan.”