KerohanianSemasa

Menghayati Falsafah Korban – khutbah Jumaat hari ini

Seruan manusia kepada ketaatan yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT

PUTRAJAYA: Bersempena menjelangnya Aidiladha, jemaah solat Jumaat hari ini diajak menghayati khutbah pada hari ini iaitu ‘Menghayati Falsafah Korban’.

Apabila tibanya Zulhijjah, maka tidak dapat tidak, pastinya kita akan membicarakan berkaitan haji dan ibadah korban. Ketika saudara-saudara seagama kita sedang berjihad menunaikan fardu haji di Makkah al-Mukarramah, kita pula dianugerahkan satu ibadah yang sangat dituntut untuk melaksanakannya iaitu ibadah korban.

Foto arkib MAPIM Malaysia
Foto arkib MAPIM MALAYSIA

Kalimah Korban berasal dari Bahasa Arab yang membawa maksud mendekatkan. Manakala menurut istilah syara’, korban ialah sembelihan binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ibadah ini dilakukan pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu, Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuknya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya”.

Ayat itu menyeru manusia kepada ketaatan yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Hal ini kerana pengorbanan dan pengabdian diri itulah yang menjadi tunjang utama dalam ajaran Islam.

Tarbiyah pengorbanan bertujuan melatih umat Islam supaya membiasakan diri berkorban sesuatu yang dimiliki agar lebih bersyukur dan suka berkongsi rezeki dengan orang lain.

Foto arkib MAPIM Malaysia

Di samping kita meraikan syiar korban ini, seharusnya sebagai umat Muhammad SAW, sangat wajarlah kita menyantuni sunnah dalam ibadah korban. Ibadah korban bukanlah sekadar sembelihan biasa malah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Maka bagi merealisasikan syariat yang murni ini, sunnah dalam pelaksanaan korban usahlah ditinggalkan. Sunnah dalam ibadah korban ini sangat penting untuk diamalkan bagi menjamin kesempurnaan dan keberkatan ibadah korban.

Empat falsafah yang boleh dihayati yang berkait dengan pelaksanaan ibadah korban adalah:

Pertama: Menanamkan rasa syukur kepada Allah SWT atas segala kurniaan yang telah diberikan. Allah SWT juga menjamin pertambahan rezeki bagi sesiapa yang mensyukuri nikmat-Nya.

Kedua: Menyemai semangat untuk berkorban harta, masa & tenaga demi kemaslahatan ummah serta mencapai keredhaan Allah SWT.

Ketiga: Meningkatkan kepedulian sosial terhadap sesama umat Islam. Sesuai dengan maksud hadis bahawa tangan yang di atas lebih baik dari yang di bawah (yang memberi lebih baik (beroleh ganjaran) daripada yang menerima. Rezeki yang ada dikongsi bersama lebih-lebih kepada mereka yang berhak menerimanya.

Keempat: Mengajar supaya berlaku ihsan walaupun terhadap haiwan. Tatacara dan sunnah dalam sembelihan menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan ihsan dan kebajikan walaupun terhadap haiwan. Kelima: Melatih diri bersikap ikhlas dan berintegriti dalam melakukan sesuatu urusan.

Rujukan daripada teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button