Rantau Panjang : Perjalanan konvoi misi bantuan banjir MAPIM Malaysia dan MAPIM Rangers ke Rantau Panjang, Kelantan, punyai ceritanya yang tersendiri.
Ia bukanlah perjalanan yang mudah kerana ia membawa dua buah lori APM, sebuah bas double decker, sebuah truck command centre, dua buah bot, dan 20 kenderaan pacuan empat roda, yang berkekuatan 100 orang anggota sukarelawan MAPIM Malaysia. Mereka turut membawa bantuan keperluan asas untuk mangsa banjir.
Konvoi misi bantuan banjir yang bergerak pada pukul empat pagi, dari gudang MAPIM Malaysia, di Sepang, diketuai oleh Tuan Zulhanis yang juga merupakan Setiausaha Agong MAPIM.
Konvoi itu sampai ke Pasir Mas hanya selepas 12 jam perjalanan kerana ada kenderaan yang menghadapi masalah, dan keadaan cuaca yang mendung juga hujan di sepanjang jalan. Para pemandu terpaksa berhati-hati, terutamanya bas double decker yang punyai graviti yang tinggi.
Konvoi bantuan kemanusiaan singgah ke Raub, Pahang bagi solat subuh sebelum meneruskan perjalanan dan singgah lagi ke Gua Musang.
Menurut Tuan Zulhanis, “Cabaran membawa konvoi sebesar ini dengan keupayaan kenderaan yang berbeza-beza, memang sangat besar. Matlamta besar kita adalah membantu mangsa banjir, dan matlamat utama pula adalah memastikan konvoi ini selamat daripada sebarang kemalangan.”
Bagi memastikan keadaan terkawal komunikasi antara pemandu sangat dititikberatkan, dengan menggunaan walkie talkie.
Selain mengawal perjalanan ia juga adalah antara cara bagi mengelakkan mengantuk dan seterusnya mengeratkan perhubungan antara anggota misi.
Segala penat hilang apabila disambut mesra oleh anggota MAPIM Rangers Kelantan. Semangat anggota misi juga semakin melonjak apabila kotak-kotak bantuan akhirnya sampai ke tangan mangsa-mangsa banjir. Ini baru hari pertama misi dan ia akan diteruskan lagi bagi membantu lebih ramai mangsa.
——