Semasa

Memperingati kehilangan pesawat MH370

PETALING JAYA : Walaupun 8 tahun telah berlalu, tragedi kapal terbang MH370 masih segar dalam ingatan selepas pesawat itu hilang secara “misteri” dan masih belum ditemui sehingga hari ini.

Lapan Mac merupakan tarikh keramat pesawat MH370 hilang, dan kini media sosial dibanjiri dengan peringatan terhadap pesawat tersebut dan masih ramai yang menaruh harapan agar ia berjaya ditemui semula.

Walaupun banyak laporan mengenai penemuan serpihan yang dipercayai milik pesawat berkenaan, namun keluarga mangsa masih mengharapkan misteri ini akhirnya berjaya dirungkai.

Untuk rekod, pesawat MH370 jenis Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan sejurus melintasi ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat yang membawa 239 penumpang itu dijangka tiba di Beijing lapan jam kemudian sebelum kehilangannya kekal menjadi misteri terbesar dunia penerbangan hingga kini.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan.

Terbaharu pada Februari lalu, pencarian pesawat itu dilaporkan dimulakan semula selepas teknologi baharu dikatakan membantu menentukan secara tepat lokasi pesawat tersebut terhempas.

‘Pemburuan’ MH370 kembali aktif selepas seorang jurutera aeroangkasa Britain, Richard Godfrey berkata, dia dapat mengesan kapal terbang Boeing 777 tersebut menggunakan teknologi pengesanan baharu, lapor MailOnline, Australia.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button