Membazir air ketika berwuduk adalah makruh
Wuduk dari segi bahasa ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu manakala dari segi syara‘ pula, ia bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat.
Namun, mungkin ada di antara kita yang tidak sedar telah melakukan pembaziran ketika sedang mengambil wuduk, jadi timbul persoalan apa hukumnya?
Menurut penjelasan dari portal Maktabah Al-Bakri, ia memetik al-Fiqh al-Manhaji yang menyatakan bahawa menggunakan air secara berlebihan atau membazirkan air termasuk
Ia juga merujuk kepada al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah yang memberitahu bahawa para ulama telah bersepakat bahawa berlebih-lebihan dalam penggunaan air hukumnya adalah makruh. Firman Allah SWT:
وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Dalam pada itu, ia turut memetik sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW melalui suatu kawasan dan melihat Sa‘d sedang berwuduk. Lalu Baginda SAW bersabda:
مَا هَذَا السَّرَفُ. فَقَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ؟ قَالَ: نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: “Kenapakah berlebihan guna air ini?” Maka Sa‘d menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat berlebihan — yakni melampaui batas sehingga membazir? Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.”
“Ini menunjukkan bahawa perbuatan berlebihan menggunakan air ketika berwuduk dilarang oleh Rasulullah SAW, sekalipun kuantiti air itu banyak seperti di laut, sungat dan seumpamanya.
Sementara itu, berdasarkan petunjuk Nabi SAW, di mana Baginda hanyalah berwuduk dengan menggunakan secupak air seperti yang dinyatakan dalam riwayat daripada Ibn Jabr bahawa beliau mendengar daripada Anas R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْسِلُ، أَوْ كَانَ يَغْتَسِلُ، بِالصَّاعِ إِلَى خَمْسَةِ أَمْدَادٍ، وَيَتَوَضَّأُ بِالمُدِّ
Maksudnya: “Nabi SAW mandi menggunakan satu gantang air (bersamaan empat hingga lima cupak air), dan Baginda berwuduk dengan menggunakan satu cupak air.”
Kesimpulannya, berdasarkan penjelasan tersebut maka terjawablah persoalan menggunakan air secara berlebihan atau membazirkan air ketika berwuduk, maka hukumnya adalah makruh.
Hal ini kerana sikap berlebihan dan membazir itu bukan daripada budaya Islam, bahkan ia langsung tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim yang disifatkan sebagai seorang yang bersederhana dalam setiap keadaan.