InspirasiPendidikanSemasa

Mematahkan komen Johari Manikam tentang pemilihan isteri

Hangat di media sosial ketika ini berkaitan komen seorang netizen yang dikenali sebagai ‘Johari Manikam’ yang memberi kritikan terhadap pelajar terbaik Malaysia, Irdina Shahriman, seorang penuntut di Virginia Tech, USA yang memperolehi keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 secara konsisten dari tahun 2018 hingga 2021.

Rata – rata masyarakat memuji kejayaan pelajar tersebut dan mendoakan agar pelajar tersebut terus berjaya dalam bidang yang diceburi disamping membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.

Lain pula bagi pengguna bernama ‘Johari Manikam’ yang memberi komen yang menganggap pelajar tersebut hanya cemerlang dalam akademik tidak pada sahsiah diri seperti memasak, basuh pinggan mangkuk, membuat ‘sandwich’ dan menganggap pelajar tersebut tidak layak untuk berkahwin.

Rentetan daripada itu, pentingnya masyarakat masa kini mengambil berat dalam pemilihan pasangan dan saling mengetahui tanggungjawab suami dan isteri selepas berkahwin. Terimalah hakikat, alam perkahwinan amatlah berbeza daripada alam bercinta dan apabila sudah berkahwin semua aspek perlu difikirkan bersama.

Sudah menjadi lumrah manusia yang mengimpikan pasangan yang cantik, tampan, berkedudukan tinggi dan berharta. Namun, agama Islam ada mengajarkan, dalam setiap hal kehidupan terdapat panduan yang cukup lengkap mengikut ajaran Al-Quran dan hadis termasuk hal berkaitan jodoh.

Mungkin ada yang lupa, dalam hal mencari pasangan, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Seorang wanita dinikahi kerana empat (4) sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.  Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Jelas dalam hadis di atas Rasulullah SAW mengajar umatnya mencari bakal isteri melalui empat perkara iaitu, hartanya – kaya atau tidak; keturunannya – adakah dia berasal dari keturunan yang baik – baik; kecantikannya – rupa paras; dan agama – kefahaman dan amalan agama.

Namun, Rasulullah menyarankan bahawa sebaik-baik pilihan perlulah mencari seorang wanita yang memiliki agama di mana ia menguntungkan seseorang itu di dunia dan akhirat.

Ada empat perkara yang disarankan oleh Rasulullah dalam memilih jodoh. Mari kita rungkaikan ciri – ciri tersebut.

Perkara pertama yang disebutkan dalam hadis di atas adalah harta. Dalam mencari pasangan tidak ada penekanan yang khusus dinyatakan berkaitan harta, namun kekayaan yang tidak berlandaskan agama akan membawa kepada bencana dan jika mencari pasangan hanya kerana melihat dari segi harta, nescaya Allah akan menghilangkan hartanya.

Yang kedua adalah keturunan, Rasulullah SAW menyarankan agar memilih calon isteri yang datang daripada keturunan yang baik. Keturunan boleh dijustifikasi sebagai datang daripada keluarga yang baik serta tidak dipandang cela oleh masyarakat.

Malah perbezaan darjat dalam beberapa perkara akan menimbulkan permasalahan di kemudian hari. Oleh itu, wajarlah mencari keturunan yang boleh menyenangi dan bersesuian dengan tuntutan agama.

Yang ketiga adalah kecantikan, tidak dinafikan faktor fizikal juga menjadi ukuran dalam memilih pasangan hidup, ini terbukti setiap individu pasti menekankan paras rupa seperti wanita mahukan lelaki yang tampan manakala lelaki mahukan wanita yang cantik.

Namun Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta-harta mereka kerana berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya.”
(Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi).

Oleh itu, agama tetap menuntut untuk mencari pasangan yang mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna berbanding kecantikan seorang wanita.

Perkata keempat adalah agama merupakan kriteria paling utama berbanding kriteria yang lain, agama sebagai petunjuk dalam setiap perkara dalam kehidupan. Rasulullah juga menyuruh agar berusaha dan berlumbalah untuk mendapatkan perempuan yang baik agamanya.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak adalah penting kerana agama akan terus kukuh walaupun peredaran zaman. Malah setiap pasangan yang menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan.

Oleh itu, empat perkara ini sangat penting dalam mencari pasangan hidup pada zaman sekarang.

Perkahwinan adalah suatu tanggungjawab yang besar, yang diamanahkan oleh Allah SWT. Maka perlulah kita mengikuti sepertimana yang disebutkan di atas bagi menggapai erti sebenar keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat.

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button