Melaka benar jemaah rapatkan saf ikut saiz sejadah bermula 1 April
MELAKA : Bermula 1 April ini, semua jemaah semua masjid dan surau di negeri ini dibenar melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf mengikut saiz sejadah standard berbanding penjarakan fizikal satu meter.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kelonggaran itu diberikan selaras dengan fasa peralihan endemik Covid-19 di seluruh negara dan pengekalan jarak masih ada namun lebih rapat berbanding sebelum ini.
“Kita benarkan solat jemaah jaraknya adalah antara satu sejadah, jadi masih ada sedikit penjarakan,” katanya.
Terdahulu, Melaka memberi kelonggaran kepada pengurusan masjid menggunakan budi bicara mereka sendiri untuk mengawal penjarakan jemaah.
Ia susulan kerajaan negeri tidak menetapkan secara rasmi kebenaran merapatkan saf seperti dilakukan di Perlis memandangkan Melaka mempunyai lebih 313 masjid dan surau bertaraf masjid yang menyediakan ruang mencukupi meskipun mengamalkan penjarakan fizikal.
– BERNAMA