Padang Terap : Berdasarkan kedudukan bahan komoditi yang terus meningkat, kerajaan menjangkakan harga minyak sawit mampu mencecah paras tertinggi RM9,000 satu tan metrik pada Mei atau Jun depan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata banyak faedah akan diperolehi oleh kerajaan dan pekebun kecil tempatan apabila berlaku kenaikan harga minyak sawit, dan dapat meningkatkan pendapatan yang lebih tinggi.
Namun, beliau menyatakan kebimbangan terhadap harga barangan berkaitan sawit akan turut meningkat disebabkan kenaikan harga minyak sawit.
“Kita ada kebimbangan apabila harga minyak sawit terus meningkat, ia akan memberi kesan kepada rantaian bekalan dan barangan berkaitan sawit yang mungkin turut akan naik.
“Namun, perlu dijelaskan bahawa 20 peratus daripada keuntungan jualan minyak sawit negara disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk pelbagai subsidi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip di sini.
Tambahnya lagi, berdasarkan analisis yang dibuat oleh syarikat bursa, harga minyak sawit boleh mencecah sehingga RM9,000 satu tan metrik menjelang Jun depan malah trend kenaikan boleh dilihat terus berlaku pada masa kini.
“Trend kenaikan ini dijangka berlarutan sehingga suku ketiga tahun ini atau sehingga hujung tahun bergantung keadaan semasa,” katanya.
Susulan konflik Russia – Ukraine yang menjejaskan eksport minyak bunga matahari, menjadikan harga minyak sawit melepasi RM8,000 satu tan metrik, menjadikannya minyak sayuran paling mahal pada 1 Mac lalu.
Sementara itu, pihaknya dalam proses memulihkan kira-kira 400,000 hektar kawasan tanaman getah yang didapati tidak diurus secara baik diseluruh negara.
“Kita akan menggerakkan koperasi tempatan bagi mengesan kira-kira 150,000 pekebun kecil yang tidak aktif ini dan mereka akan diberi pilihan untuk terus menguruskan kebun sendiri atau diserahkannya kepada koperasi untuk diusahakan.
“Jika semua kawasan tanaman ini dapat diusahakan secara sistematik, ia mampu mengeluarkan hasil kira-kira RM30 bilion kepada negara,” katanya.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today