EkonomiKepenggunaanSemasa

Matlamat Boikot Perlu Berlandaskan Ilmu Dan Akhlak, Bukan Menghukum Dan Menyebar Kebencian

Di saat kita semakin berjauhan antara satu sama lain dalam cubaan mencegah jangkitan COVID-19, kita sewajarnya bermuhasabah dengan jurang ini kerana hidup kita pasti tidak sama seperti dulu. Dunia tanpa sentuhan di mana berjabat tangan, berpelukan hatta ber high five sekalipun tidak lagi dibenarkan. Berdiri atau duduk sebelah menyebelah juga ada jarak minimum yang ditetapkan.

Dengan keadaan begini, bukankah kita sepatutnya lebih meraikan kewujudan, sentiasa mencari titik persamaan dan menjauhi perselisihan supaya tidak terputus hubungan yang berbaki ini?

Tapi malangnya suasana itu semakin pudar. Kebelakangan ini sosial media di Malaysia dipenuhi dengan pelbagai sentimen negatif dengan sikap menghukum orang lain sewenang-wenangnya walaupun semua sedang diduga dengan musibah pandemik COVID-19 ketika ini. Ini seolah-olah laungan #kitajagakita tidak lagi terguna pakai.

Contoh baru-baru ini tersebar kempen untuk memboikot satu perniagaan besar di Malaysia yang terkenal kerana kepelbagaian fabrik dan pakaian yang dijualnya khususnya apabila tiba musim perayaan.

Ia timbul gara-gara satu status yang dimuat naik oleh seorang pekerjanya yang memberi komen yang didakwa berbaur perkauman oleh netizen. Status tersebut walau bagaimanapun telahpun dipadam dan individu berkenaan membuat kenyataan terbuka memohon maaf dan meminta supaya orang awam tidak menyalahkan syarikat perniagaan yang dimiliki oleh abangnya itu.

Selain beliau, abangnya sebagai pemilik sebenar perniagaan itu juga turut memuat naik video memohon maaf walaupun kekecohan yang timbul itu bukan disebabkan olehnya.

Namun para netizen memberi respon untuk terus memboikot dengan alasan memberi pengajaran akibat perbuatan yang telah mengguris perasaan ramai pihak tersebut.

Tidak kurang juga ramai pihak yang tampil membela syarikat berkenaan kerana merasakan tidak adil untuk menghukum mereka sedemikian hanya atas keterlanjuran individu. Tambahan lagi ada yang mengingatkan bahawa pemilik perniagaan itu yang merupakan seorang Muslim adalah antara penyumbang terbesar dalam ekonomi umat Islam di Malaysia.

……………………………………………….

Kata Ilmuan Berkenaan Boikot

Dalam satu soal jawab agama oleh Berita Harian, Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim memberi penjelasan mengenai adab yang perlu diambil kira jika umat Islam ingin memboikot sesuatu.

Tidak dinafikan bahawa boikot dibenarkan dalam Islam, namun kita kena pastikan perbuatan itu sejajar dengan adab dan akhlak Islam. Ia sangat perlu supaya agama Islam tidak dipandang hina oleh golongan bukan Islam. Antara adab yang perlu dipelihara ialah:

  • Tidak mencaci atau menghina dengan menggunakan perkataan kesat dan keji kepada pemilik produk.
  • Tidak memburuk atau mencederakan mereka yang tidak turut memboikot.
  • Tidak menghukum orang lain yang tidak memboikot kerana situasi mereka berkemungkinan berbeza dengan situasi kita yang memboikot.
  • Boikot dengan strategi yang membina dan bukan dengan cara terburu-buru tanpa berfikir panjang kerana ia akan merugikan umat Islam dalam banyak perkara.
  • Buktikan terlebih dulu akan salah laku pihak terbabit sebelum keputusan memboikot produk dilakukan kerana kita khuatir ia adalah fitnah bertujuan menjatuhkan pihak tertentu.
  • Dapatkan nasihat daripada ulama, mufti atau badan yang layak mengeluarkan fatwa berhubung isu semasa terutama boikot.

Justeru, orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan untuk bertenang dan tidak membuat tindakan terburu-buru sehingga tersalah langkah yang boleh menyebabkan kemudaratan yang lebih besar tanpa sedar.

Seandainya terguris hati dan pihak yang bersalah sudah memohon maaf, sebaiknya umat Islam mengamalkan sikap saling memaafkan bukan terus membuat provokasi kerana memberi kemaafan itu adalah sifat yang sangat terpuji di dalam Islam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button