Masuk Islam sekadar untuk berkahwin, wajarkah?
Islam bermaksud keamanan dan kesejahteraan. Sesiapa sahaja dialu-alukan untuk mengenali serta memahami Islam. Sesetengah manusia jatuh cinta kepada Islam kerana mesej yang disampaikan melalui ayat-ayat Al-Quran, hadis dan cara hidup Nabi SAW.
Ada yang sukakan Islam kerana amalan serta gaya hidup seseorang Muslim itu. Ada pula yang ingin peluk Islam kerana jatuh cinta kepada lelaki atau perempuan yang beragama Islam.
Namun, adakah boleh seseorang itu masuk Islam hanya sekadar untuk berkahwin?
Hukum masuk Islam adalah sah kerana melihat kepada zahirnya. Sekiranya seseorang itu tidak melaksanakan kewajiban ia ada dosanya. Maka dakwahlah seseorang itu sehingga dia beramal dengan Islam.
Terdapat beberapa kisah pada zaman Rasulullah SAW yang mempunyai persamaan dengan isu ini seperti ibu kepada Anas bin Malik, Ummu Sulaim pernah dipinang oleh seorang lelaki bukan Islam yang bernama Abu Thalhah. Ummu Sulaim meletakkan syarat bahawa dia perlu masuk Islam, maka mahar yang diletakkan oleh Ummu Sulaim adalah keislaman Abu Thalhah sendiri.
Menurut Imam Syaukani, keislaman seseorang itu sah sekalipun syarat yang diletakkan ketika masuk Islam itu tidak kukuh dan bukan kerana keazamannya ingin mengenali Islam. Contohnya kerana ingin berkahwin, kerana ingin mendapatkan perlindungan dan sebagainya.
Adakah kita perlu mencurigai hasrat orang bukan Islam untuk memeluk Islam?
Dalam artikel tulisan udakwah.com, tanggapan negatif ini sangat tidak wajar. Pertama sekali, kita tidak perlu mempersoalkan hasrat dan niatnya untuk memeluk Islam.
Soal niatnya itu bukanlah tugas kita untuk menghakimi dan menentukannya.
Apa yang ada di dalam hati seseorang individu tersebut hanya diketahui oleh Allah Taala.
Jika kita terus mencurigai dan menuduh dengan tuduhan yang bukan-bukan, maka orang bukan Islam akan semakin menjauh daripada Islam.
Apa yang perlu kita lakukan ialah menyambut niat baik mereka dengan tangan terbuka.
Adalah lebih baik jika kita memandu mereka agar mereka dapat memeluk Islam dengan lebih mudah dan berkeyakinan.
Kita mungkin tidak mampu untuk berdakwah sepenuh masa, tetapi jangan pula menghalang niat baik mereka untuk memeluk Islam.
Tunjuk ajar adalah lebih diperlukan berbanding cemuhan dan tanggapan negatif.
Terdapat satu riwayat hadis yang menceritakan mengenai tindakan Usamah Bin Zaid yang kemudiannya menyebabkan Nabi murka kepadanya.
Pada satu ketika, Rasulullah s.a.w telah mengutuskan satu pasukan untuk melawan orang-orang kafir daripada Bani Huraqah.
Ketika dalam pertempuran tersebut, Usamah Bin Zaid telah mengejar seorang musuh yang sedang melarikan diri.
Usamah beserta seorang Ansar telah mengepung ahli Bani Huraqah tersebut.
Pada ketika Usamah mahu membunuh lelaki itu, secara tiba-tiba lelaki tersebut mengucapkan syahadah kalimah “Laa Ilaaha Ila Allah“.
Lelaki Ansar tersebut tidak jadi membunuhnya, tetapi Usamah terus membunuh lelaki tersebut.
Ketika pasukan Islam kembali ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah pun mendengar mengenai hal tersebut. Nabi terus bertanya kepada Usamah:
“Adakah engkau tetap membunuhnya walaupun di telah mengucapkan Laa Ilaaha Ila Allah?”.
Lalu Usamah pun menjawab:
“Wahai Rasulullah, dia mengucapkan kalimah tersebut hanya kerana ingin menyelamatkan dirinya sahaja”.
Nabi kemudiannya bertanya lagi kepada Usamah:
“Adakah engkau boleh membelah dadanya sehingga engkau tahu sama ada dia ikhlas mengucapkan kalimah tersebut atau tidak?.
Usamah menyatakan bahawa Nabi terus mengulang-ngulang soalan tersebut kepadanya.
Kisah menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulullah s.a.w tidak menerima tindakan Usamah tersebut walaupun Usamah telah memberikan alasan kepada baginda.
Rasulullah s.a.w begitu marah kepada Usamah sehingga Nabi berkali-kali bertanyakan soalan yang sama kepadanya.
Hadis ini juga telah menjadi satu kaedah fiqah iaitu hukum hanya ditentukan berdasarkan apa yang dilihat atau zahir sahaja.
Manakala urusan yang tidak tidak dapat dilihat atau urusan di dalam hati, ia adalah urusan Allah dan bukan urusan manusia lagi.
Jadi, bagaimana proses pendaftaran pengIslaman seorang mualaf?
Setiap negara mempunyai prosedur yang tersendiri bagi seseoang itu masuk Islam. Di Malaysia, bagi prosedur pengIslaman di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah pemohon perlu menyediakan beberapa dokumen dan perkara seperti kad pengenalan (warganegara tempatan), pasport serta visa (warganegara asing), dua keping gambar bersaiz pasport, dua orang saksi lelaki Islam warganegara Malaysia dan pemohon perlu menghantar sendiri borang pengislaman ke JAWI setelah selesai pengIslaman di PERKIM.
Manakala 2 orang saksi dikehendaki mengikut pemohon ke JAWI untuk melakukan urusan pendaftaran berikutnya.
Jika di Majlis Agama Islam Selangor pula (MAIS), pemohon perlu menyediakan dokumen dan perkara seperti kad pengenalan (warganegara tempatan), pasport serta visa (warganegara asing), empat keping gambar bersaiz pasport dan dua orang saksi lelaki Islam warganegara Malaysia.
Setiap prosedur yang ditetapkan adalah mengikut tempat masing-masing agar memudahkan seseorang itu untuk memeluk Islam.
Seorang bakal suami atau isteri yang beragama Islam juga tidak patut melepaskan tanggungjawab dalam memberi tunjuk ajar tentang Islam, atau setidak-tidaknya mereka perlu diberitahu tentang kewujudan pusat agama atau pihak-pihak yang boleh membantu dalam proses pembelajaran.