Semasa

Sultan Selangor zahir dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri itu yang hadir program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 yang hadir menolak untuk divaksin.

“Apa yang berlaku amat mengecewakan baginda kerana kedegilan individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA,” tulis kenyataan itu.

Baginda bertitah, pelbagai inisiatif dan cara sudah dilakukan khususnya daripada gesaan baginda sendiri dengan kerjasama pihak JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Selangor.

“Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Baginda turut bertitah, nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin akan diteliti dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Oleh Hafeez Anuar

 

 

Related Articles

Back to top button