Semasa

Masjid di Perlis dibuka sepenuhnya

KANGAR : Semua masjid di sekitar Perlis dibuka sepenuhnya mulai Rabu dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hanya kariah yang telah melengkapkan vaksin Covid-19 akan dibenarkan hadir ke masjid.

“Maksud vaksin lengkap adalah selepas 14 hari dari tarikh menerima suntikan dos kedua bagi vaksin jenis Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac.

“Bagi vaksin jenis Johnson & Johnson dan Cansino adalah selepas hari ke 28 dari tarikh suntikan dos kedua,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), malam Ahad.

Tambah baginda, sebagai langkah kawalan dan penyelarasan, surau atau tempat solat umun lain masih ditutup melainkan mendapat kebenaran khas MAIPs atau Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, individu yang telribat dengan aktiviti rentas sempadan tidak dibenarkan memasuki masjid dalam tempoh dua minggu dari tarikh akhir.

Pada masa sama, baginda mengingatkan agar semua jemaah yang hadir di masjid mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan.

“Selain solat fardu dan solat Jumaat, aktiviti lain yang turut dibenarkan adalah solat jenazah, kuliah agama, ceramah, akad nikah dan jamuan makan dengan cara mengedar makanan yang siap dibungkus,” titah baginda.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button