KAJANG: Tindakan keganasan dan serangan regim israel terhadap umat Islam di Palestin berterusan selama 75 tahun sehinggakan lebih 90 % daripada tanah rakyat Palestin dikuasai zionis.
Masjid Al Aqsa, kiblat pertama umat Islam terus dicabul kesuciannya, ribuan umat Islam Palestin tidak mengira usia yang tidak berdosa kini meringkuk di dalam penjara israel, ekonomi mereka disekat, kemudahan untuk rawatan kesihatan mereka dihalang, jutaan di kalangan mereka menjadi pelarian dan jenayah demi jenayah dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Menurut Pengarah Pusat Pengajian Al Zaitouna, Profesor Dr Mohsen Mohammad Saleh, kerajaan baru israel ini adalah kerajaan yang sangat ekstremisme dan mereka melakukan pelbagai jenis kekejaman terhadap rakyat Palestin.
“Mereka tidak akan mematuhi sebarang perjanjian damai dengan Palestin dan ia menyebabkan banyak berlaku pembunuhan, jenayah, kekejaman, kezaliman juga rampasan tanah jajahan.”
“Pada masa kini, Palestin berada di peringkat yang bahaya dan terancam,” tegas Profesor Dr Mohsen sewaktu menjadi panelis dalam forum ‘The Future of the Zionist Project and the Role of the Muslim World’ anjuran koalisi NGO tempatan, My Aqsa Defenders dan Friends of Palestine di Ummah Hall, Wisma MAPIM Malaysia pada Isnin.
Tambahnya lagi, penduduk Palestin kini berada dalam keadaan yang penuh dengan penderitaan namun mereka masih mampu membina keupayaan mereka sendiri, keupayaan ketenteraan menentang zionis israel dengan kudrat yang ada.
“Umat Islam di Palestin juga mempunyai banyak operasi untuk bangkit di bahagian Tebing Barat. Alhamdulillah penduduk Palestin yang pakar dalam bidang perubatan kini semakin meningkat tetapi pembebasan ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan seluruh umat Islam di seluruh dunia,” katanya mengulas siri pembantaian rejim israel ketika ini di Jenin termasuk provokasi zionis terhadap umat Islam di Masjid Al-Aqsa sejak Ramadan tahun ini.
Profesor Dr Mohsen juga menyeru orang ramai untuk sentiasa mengingati dan sekurang-kurangnya menunjukkan simpati terhadap mereka yang ditindas di Palestin.
Perkara yang paling penting dalam perjuangan isu Palestin serta pembebasan Al-Aqsa agar terus hidup malah tidak akan berakhir adalah dengan merasakan persaudaraan erat sesama umat Islam dan tanggungjawab bersama mempertahankan akidah ummah.
BACA JUGA
Imam Masjid Al-Aqsa seru umat Islam bersatu dalam isu Palestin