“Justeru di pihak MAPIM, kita lihat titah Tuanku YDPA adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu dan sangat melegakan. Inilah masanya gencatan politik dilakukan di atas nama kepimpinan negara Malaysia. Tidak ada lagi perkataan pembangkang, tidak ada lagi perkataan kerajaan tetapi yang ada sekarang ialah kesemua Ahli Parlimen, kesemua ahli politik bersatu padu dan ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk pemimpin Malaysia.”
Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, memaklumkan hasil perbincangan dengan Raja-Raja Melayu, Al-Sultan Abdullah bertitah, tiada keperluan mengisytiharkan darurat selepas baginda merasakan kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.
Selain itu, katanya, Al-Sultan Abdullah juga bertitah menggesa ahli politik untuk menghentikan politik berlebihan yang boleh mengganggu kestabilan negara.
Dalam kenyataan media Istana Negara semalam, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
“Bagi pihak rakyat itu satu kelegaan yang besar apabila kita ini ada mempunyai satu lagi peringkat akhir dalam sebarang krisis iaitu perkenan DYMM Tuanku untuk melihat satu aspek dan apa yang diberikan nasihat oleh Tuanku Sultan atau pun Sultan Melayu, memberi naratif baharu, secara mudahnya adalah gencatan politik”
“Sekarang ini rakyat menilai dan meminta daripada pihak pimpinan Malaysia untuk mereka juga menunjukkan kematangan yang sangat tuntas, yang sangat jelas untuk memberikan bukan sahaja pandangan tetapi pelaksanaan bagaimana kita dapat hentikan segala bentuk rasa cemas dalam hal politik tetapi kita bantu dalam hal Covid-19.”
Beliau juga berharap menjelang penutup tahun 2020 ini, kesepaduan kerjasama dicapai di antara pihak kerajaan dan pembangkang di atas nama pemimpin Malaysia.
MAPIM Malaysia katanya melihat menyantuni rakyat, adalah perkara utama yang perlu digagaskan kini, oleh ahli politik dan bukan mengulangi perkara retorik – mereka perlu bertindak seolah melunaskan hutang kepada rakyat untuk mendekati hati rakyat.
Rakyat sendiri katanya menghulurkan sumbangan melalui NGO-NGO kepada barisan hadapan dan juga mereka yang memerlukan, sehubungan itu gencatan senjata ini adalah peluang untuk mereka mendekati rakyat sebagai agenda utama.
“MAPIM kita melihat dari sudut siapa sahaja menyantuni rakyat dia adalah frontliner itu paling asas. Saya kira rasa yang sama dikongsi oleh rakyat – siapa sahaja yg menyantuni rakyat yang turun dan membantu sama ada dalam apa sahaja keadaan mereka ini duduk di hati rakyat, mereka inilah yang kita sebutkan sebagai frontliner”.