DuniaSemasa

MAPIM tolak pelantikan Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri Britain

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya pelantikan Perdana Menteri Britain yang baharu, Rishi Sunak.

Presiden MAPIM, Mohd.Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi berkata, pihaknya berpendirian sedemikian berpunca dari kenyataan Rishi yang telah menggelar Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota bersejarah’ Israel dan tindakan beliau yang berikrar untuk memerangi gerakan ‘Boycott, Divestment and Sanctions’ (BDS) oleh rakyat Palestin terhadap Rejim Zionis.

‘Rishi yang merujuk negara Yahudi sebagai ‘suar harapan yang bersinar,’ menyatakan keazaman untuk menghapuskan ‘bencana’ antisemitisme, adalah gambaran bagaimana Perdana Menteri United Kingdom (UK) kekal sebagai penyokong konsisten Yahudi Zionis sejak Deklarasi Belfour.

“Pengisytiharan Rishi sebagai penyokong kuat Israel dan rakan komuniti Yahudi UK bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sesiapa yang duduk di kerusi Perdana Menteri hanya akan disokong jika pendirian menyokong Israel diterima sepenuhnya,” jelas Cikgu Azmi dalam kenyataannya hari ini.

Media antarabangsa melaporkan, Rishi mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi Perdana Menteri Britain berketurunan India pertama dan termuda dalam arena politik negara ini.

Kejayaan Sunak turut diraikan pemimpin dan rakyat India termasuk Perdana Menteri, Narendra Modi, apabila laman sosial dibanjiri dengan ucapan tahniah buat pemimpin berusia 42 tahun itu yang memperoleh kejayaan istimewa ketika perayaan Deepavali disambut di seluruh dunia.

Cikgu Azmi berkata, Rishi mengambil inisiatif Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota bersejarah yang tidak dapat dipertikaikan’ Israel.

Jelas Cikgu Azmi lagi, UK kembali mengembalikan peranannya untuk memperjuangkan Jerusalem sebagai ibu kota Israel dan bersedia untuk menjadi alat di bawah Israel.

“Kami mengingatkan Rishi bahawa dia bermain dengan api semasa menjadi Perdana Menteri.”

Mengisytiharkan sokongannya yang tidak berbelah bahagi kepada Israel dalam beberapa hari pertama memegang jawatan menandakan bahawa UK akan berkonfrontasi dengan umat Islam di UK dan dunia,” tegasnya.

Justeru pihaknya menyeru semua umat Islam di seluruh dunia untuk bangkit dan menentang Perdana Menteri fasis UK.

Beliau menambah, pengisytiharan perangnya terhadap BDS dan anti-semitisme menggambarkan kesediaannya untuk menjadi PM boneka bagi zionis Israel.

“Kami menuntut apa-apa dasar yang akan dia lakukan dalam mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel mesti ditentang dalam tempo yang paling kuat,” tegas Cikgu Azmi lagi.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button