Semasa

MAPIM MALAYSIA meterai kerjasama strategik dengan IAC Maldives

Laksana projek impak tinggi untuk Bandar Wakaf Pelarian Syria

MALÉ: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada Sabtu telah menandatangani satu memorandum perkongsian strategik bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terkemuka Maldives, International Aid Campaign (IAC) di sini.

Menurut IAC, kehadiran delegasi MAPIM diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (Dr) Sani Araby Datuk Alim Araby amat bermakna kerana ia mengambarkan satu sinergi dalam gerak kerja kemanusiaan demi ummah  antara kedua-dua negara.

Oleh itu tambah IAC, berakar umbi dalam matlamat bersama untuk memupuk perpaduan, keadilan dan keamanan, sudah tiba masanya pakatan antara MAPIM-IAC dimeterai untuk satu sinergi antarabangsa.

Saya yakin perkongsian dengan MAPIM ini akan menambahbaik program kami di peringkat global kerana kami dapat melihat gerak kerja MAPIM sangat luar biasa dalam bidang kemanusiaan dan Dr Sani sangat terkenal dalam sektor ini.”

Saya percaya perkongsian kami dengan MAPIM akan membentuk ikatan yang lebih kukuh antara kami dan pembinaan strategi untuk pembangunan sektor kemanusiaan juga akan menjadi lebih baik kerana sejak awal organisasi kami ditubuhkan kami menjalankan banyak projek, kini pelan strategik MAPIM-IAC pasti akan membantu lebih ramai golongan yang memerlukan dengan meluas ke seluruh dunia. Perkongsian ini sangat diperlukan dan ia akan menjadi sangat baik untuk masa depan kedua-dua organisasi”, kata Ahmed Iqbal Pengerusi IAC penuh yakin kepada UmmahToday.

Menurut kenyataan rasmi IAC juga, kerjasama ini bukan sahaja menandakan perpaduan negara tetapi juga pertemuan minda, kerana kedua-dua entiti berjanji untuk bekerjasama dalam usaha kemanusiaan yang penting dengan berkongsi pelan strategik.

Perjanjian ini juga akan memajukan lagi usaha IAC untuk memajukan komuniti miskin dan menjadikan mereka berdikari.

IAC yakin, sejak Kongres Muslim Malaysia pada tahun 2006, MAPIM telah berubah menjadi suara yang kuat mewakili kepedulian ummah global dan cabaran kemanusiaan yang lebih luas.

Bagi pihak MAPIM Malaysia pula, (Dr) Sani Araby berkata mereka percaya perkongsian strategik ini akan memanfaatkan kedua-dua pihak dalam gerak kerja membantu ummah, bukan sahaja setakat menghantar bantuan pek makanan tetapi lebih kepada gerak kerja yang berstruktur agar bantuan kemanusiaan lebih berimpak tinggi.

“Sebagai contoh kita bercakap tentang pemerkasaan ekonomi, pendidikan, pemerkasaan wanita dan pembinaan kapasiti. Ini bukan mudah, ia akan mengambil masa yang lama tetapi sekurang-kurangnya kita mulakan.”

“Dan kita boleh lihat dari semasa ke semasa gerak kerja kita memberi manfaat kepada ribuan orang. Beginilah cara saya mentakrifkan IAC sebagai rakan kongsi strategik kami, kita boleh saling melengkapi dalam usaha membantu ummah melangkaui sempadan,” jelas (Dr) Sani Araby.

Pada majlis sama, IAC telah menyerahkan sumbangan sebanyak USD120,000 (RM556,800.00) sebagai tanda sokongan dan sumbangan untuk tabung bantuan kemanusiaan Syria kepada MAPIM Malaysia.

Kita mungkin tidak dilahirkan untuk menjadi besar tetapi selagi kita mempunyai semangat yang besar kita boleh memacu diri kita untuk membantu orang ramai dengan cara yang besar. Kami berkongsi visi yang sama Malaysia-Maldives, kita negara kecil tetapi Alhamdulillah dunia mengenali kita kerana diplomasi dalam bidang kemanusiaan ini,” ujar (Dr) Sani Araby.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button