Semasa

MAPIM sertai Program Komuniti Santuni MADANI Kampung Bharu

Program Komuniti Santuni MADANI di Kampung Bharu telah berlangsung dengan jayanya walaupun dalam keadaan hujan. Ia menghubungkan penduduk setempat dengan pelbagai inisiatif bantuan yang membawa impak positif kepada masyarakat. Program ini, yang dianjurkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bertujuan memperkasakan komuniti melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Kayuhan Prihatin Wakaf: Misi Kebajikan dan Kesedaran

Salah satu acara utama dalam program ini ialah Kayuhan Prihatin Wakaf, di mana peserta berbasikal mengelilingi Kampung Bharu, melawati beberapa lokasi penting termasuk rumah-rumah asnaf. Aktiviti kayuhan ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi juga menyuntik semangat kesukarelawanan di kalangan peserta. Sebanyak empat rumah asnaf telah dikunjungi, dengan bantuan berupa barangan keperluan asas disampaikan bagi meringankan beban keluarga yang memerlukan.

Edaran Sumbangan MAPIM Meriahkan Suasana

Program ini turut diserikan dengan aktiviti ‘Walkabout’, di mana para peserta berjalan kaki mengedarkan 200 bungkusan goodies sumbangan dari MAPIM Malaysia kepada penduduk Kampung Bharu. Sumbangan ini bertujuan menceriakan komuniti serta memperkukuh hubungan antara badan kebajikan dan masyarakat setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut melahirkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diterima dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

“Penganjuran program ini adalah berpaksikan kepada Teras Pelan Transformasi Al – Falah iaitu Kesejahteraan Insan dengan fokus kepada dua perkara iaitu kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam dengan mengukuhkan institusi dan program Islam serta kebajikan sosial sebagai tonggak pembangunan masyarakat madani,” ujar beliau.

Program ini turut dianjurkan bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), TV Al-Hijrah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR).

Dengan penganjuran program seperti ini, ia bukan sahaja membawa keceriaan kepada penerima bantuan, tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan dalam komuniti setempat, selaras dengan aspirasi MADANI yang menekankan nilai kesantunan dan kemanusiaan dalam masyarakat.

Related Articles

Back to top button