Semasa

RM5 kadar wajib zakat fitrah, jika mampu bayar lebih

Ringankan beban umat Islam di kala pandemik

KUALA LUMPUR : Keprihatinan terhadap pembayar zakat lebih-lebih lagi di kala pandemik COVID-19, menyebabkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan tiga kadar bayaran bagi zakat fitrah bagi tahun 2021 (1442H).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagi pembayar zakat fitrah kadar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, kadar berkenaan ialah RM5, RM7 dan RM14.

Datuk Seri Dr Zulkifli berkata kadar itu telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.

Tambahnya kadar wajib adalah RM5 yang ditetapkan bagi meringankan beban umat Islam kurang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah sewaktu pandemik Covid-19 masih melanda ketika ini.

“Dua lagi kadar adalah RM7 dan RM14 ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan serta ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras dimakan. Ini bagi kategori orang yang lebih kelapangan harta.”

“Bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum adalah digalakkan secara sukarela dan tanpa paksaan.

Datuk Seri Dr Zulkifli menyerahkan watikah pelantikan seramai 73 Ketua Amil dan 836 Amil.

Beliau juga berkata, selari dengan norma baharu, MAIWP turut memperkenalkan kaedah pembayaran secara dalam talian yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi MAIWP iaitu www.maiwp.gov.my.

“Pelbagai platform pembayaran disediakan antaranya ePay MAIWP, SnapNPay, e-wallet Boost, JomPAY, dan melalui laman sesawang fitrah.zakat.com.my.

“Sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP), MAIWP juga menggalakkan pembayaran tanpa tunai kepada amil iaitu setiap amil akan diberikan QR Code yang boleh diimbas untuk transaksi tanpa tunai,” tambah beliau.

Oleh Pelatih Fakulti Sains Komputer dan Matematik – Aqilah Othman

 

Related Articles

Back to top button