KUALA LUMPUR, 25 Feb : Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) menerima CSR Brandleadership Award bagi kategori kemanusiaan dan khidmat komuniti.
Para penerima anugerah diumumkan pada majlis makan malam sempena Anugerah Jenama Terbaik Bumiputera dan Anugerah Jenama Terbaik Halal Dunia The Brandlaureatte 2022 anjuran Yayasan Jenama Dunia bagi memberikan pengiktirafan kepada mereka yang layak.
Tetamu terdiri daripada wakil jenama terkemuka daripada pemimpin pelbagai sektor perniagaan, kerajaan dan korporat selain pemilik, hadir bagi memeriahkan acara itu.
Bagi menerima Anugerah Jenama Terbaik Halal Dunia The Brandlaureatte, MAPIM Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al Kahery. Beliau diiringi oleh Setiausaha Agung MAPIM Tuan Zulhanis Zainol dan Bendahari MAPIM, Kolonel Bersekutu (PA) Haji Faris Hussein.
Presiden Dunia The BrandLaureate Dr KK Johan, dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan tahniah kepada pemenang dan menyifatkan mereka sebagai pejuang yang berjaya membangunkan imej jenama masing-masing sehingga menerima pengiktirafan.
“Membangunkan sesuatu jenama ibarat menjaga suatu ikatan perkahwinan, anda perlu terus berusaha mengekalkannya daripada mengalami keretakan. Lindungilah jenama anda seperti anda melindungi perkahwinan anda… begitu juga dengan jenama, kita harus terus berusaha agar perniagaan dan jenama kita terus maju dan berkembang dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, (Dr.) Sani Araby Al Kahery berkata, “Anugerah ini adalah bukti jelas yang MAPIM sentiasa menetapkan standard yang tinggi dalam setiap kerja kemanusiaan, baik domestik mahupun di 40 buah negara. Ini kerana, kami sedar bahawa MAPIM berurusan dengan manusia yang bukan sahaja perlukan bantuan secara material, tetapi juga jiwa dan masa hadapan mereka.”
(Dr.) Sani turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua penyumbang di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia kerana sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada MAPIM Malaysia.
Antara yang turut menerima anugerah adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi menerima Anugerah Ikon Kepimpinan Jenama BrandLaureate bagi kategori ikon industri.
Pendakwah terkenal, Dato Dr. Zaharuddin Abd Rahman turut menerima anugerah World Halal BrandLeadership atas sumbangan selama lebih 20 tahun dalam industri halal dan kepatuhan Shariah.
Syarikat animasi terkenal Malaysia yang menerbitkan siri Upin Ipin, iaitu Les’ Copaque Production turut memenangi dua anugerah Brandlaureate iaitu “The Brandlaureate Bumiputra Bestbrands Award 2022 – Brand Leadership Award” untuk Tuan Haji Burhanuddin Md Radzi dan “The Brandlaureate Iconic Brand of The Year Awards 2022” untuk Upin & Ipin.