MAPIM Malaysia mengecam buli siber guru di media sosial
Jangan jadikan ia 'norma baru'
Bangi : Baru beberapa hari Saluran DidikTv KPM dilancarkan, budaya buli siber oleh netizen terhadap guru yang mengajar di saluran itu semakin berleluasa.
Komen, status dan video yang tular bukan sahaja merendahkan cara penyampaian guru, tetapi juga mengejek cara sebutan bahasa Inggeris guru terbabit.
MAPIM Malaysia ketika ditemui melahirkan rasa kebimbangan dan kesal dengan situasi yang berlaku. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al Kahery yang juga merupakan mantan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris UPSI menegaskan, “Saya merasa sangat terpanggil dan kecewa dengan sikap netizen yang menjadikan platform pembelajaran norma baru di media sosial sebagai pentas momokan dan buli siber. Di mana letaknya rasa hormat kepada seorang pendidik yang berusaha menyampaikan ilmu. Kalaupun ada kelemahan yang berlaku, bukan tiket untuk diaibkan serta dijadikan bahan gelak ketawa dan parodi.”
“Sangat besar bezanya antara kritik dan mengeji. Dikhuatiri budaya siber buli ini menjadi kebiasaan sama ada kepada generasi pelajar hatta ibu bapa zaman ‘norma baru’ yang semakin menipis nilai adab dan hormat guru.”
Dalam waktu yang sama, MAPIM Malaysia juga memuji sebahagian sikap netizen yang bangkit membela dan mempertahankan usaha seluruh pendidik dan guru-guru yang sedaya mungkin mencari kaedah terbaik untuk menarik minat pelajar untuk menerima ilmu dalam suasana serba mencabar.
Sikap hormat guru itu adalah perkara asas dalam pendidikan. Bukan untuk pelajar sahaja tetapi mestilah lebih lagi kepada ibu bapa yang menjadi sebahagian dari netizen yang beretika.