MAPIM Malaysia menerima sumbangan RM50,000.00 dari Surau Platinum Al Mawaddah bagi membantu Gaza
Surau membantu Ummah
Bangi : Peranan surau dan masjid di Malaysia dalam membantu perjuangan rakyat Palestin adalah sangat besar. Surau dan masjid di Malaysia ibarat wira yang tidak didendang, kerana mereka terlihat tenang, sedangkan pada hakikatnya, institusi inilah antara yang sangat aktif di belakang tabir dalam mengutip dana dan memberi sumbangan untuk rakyat di Palestin.
Ini dibuktikan oleh Surau Platinum Al Mawaddah Seksyen 7, Shah Alam yang menyerahkan kutipan derma untuk Palestin berjumlah RM50,000.00 kepada MAPIM Malaysia. Kempen kutipan derma untuk Palestin yang dianjurkan oleh pihak surau telah ditutup pada 16 Jun 2021. Ia berjaya mengumpul derma sebanyak RM41,296.00. Pihak AJK Surau Platinum Al-Mawaddah kemudiannya bersetuju mencukupkan sumbangan itu menjadi RM50,000.00 melalui sumbangan daripada tabung surau yang berjumlah RM8,704.00
Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung di Ummah Central Warehouse, Bandar Serenia, Dengkil, sebuah gudang milik MAPIM Malaysia. Majlis itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol dan Bendahari MAPIM Malaysia, Kapten Haji Faris Hussain.
Mejar Zulhanis memaklumkan bahawa sumbangan itu akan digunakan bagi pembinaan semula Gaza, dan antara yang sudah berada dalam perancangan MAPIM Malaysia ialah pembinaan bangunan kediaman untuk penduduk Gaza yang dimusnahkan rumah mereka oleh rejim zionis.
Dalam masa yang sama, wakil Surau Platinum Al Mawaddah juga dibawa melawat ke sekitar Ummah Central Warehouse yang sentiasa sahaja sibuk dalam menguruskan sumbangan untuk mereka yang memerlukan. Pihak MAPIM Malaysia juga menyerahkan 100 kotak bantuan makanan asas kepada pihak Surau Platinum Al Mawaddah bagi disampaikan kepada kariah surau yang terjejas ekonominya dalam musim pandemik ini .
Pihak Surau Platinum Al Mawaddah juga dibawa melawat Ummah Mobile Clinic, sebuah klinik bergerak milik MAPIM Malaysia. Melalui perbincangan singkat dengan pihak MAPIM Malaysia, pihak surau sudah merancang bagi menjemput Ummah Mobile Clinic untuk aktiviti kemasyaratan mereka nanti.
Menurut setiausaha Surau Platinum Al Mawaddah Seksyen 7, Shah Alam, Azmir Mat Saad “Kami berharap kita akan dapat berjumpa lagi pada masa hadapan, dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kemanusiaan. Kami juga berterima kasih kepada pihak MAPIM Malaysia atas peluang kerjasama ini.”
Pada akhir majlis Mejar Zulhanis menjelaskan,
”Sekarang bukan zaman kita sekadar datang dengan niat mahu buat baik. Kita juga mesti tunjukkan apa benda baik yang kita buat, bagaimana benda baik itu dibuat, perlu tunjuk bukti amanah kita. Kita perlu transparent dengan kerja kemanusiaan yang kita buat. Ini semua bagi meyakinkan masyarakat bahawa kerja-kerja kemanusiaan ini benar, juga supaya ia menjadi inspirasi kepada semua. Selain itu kita juga berterima kasih kepada Surau Platinum Al Mawaddah, atas sumbangan ini. Selama ini masyarakat menyumbang kepada pihak surau, dan sekarang pihak surau kembali menyumbang kepada Ummah.”
MASA UNTUK BERTINDAK!
Sumbangan anda untuk rakyat Palestin yang menderita sangat diperlukan.
Klik :
http://tabunggaza.com
ATAU
menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016
Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia