Kuala Lumpur: Hubungan baik yang terjalin antara Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dalam melaksanakan program kemanusiaan berjalan dengan lancar.
Ini dapat dibuktikan dengan penganjuran Program Kongsi Mahabbah Ramadan yang dilakukan di bangunan PERKIM bagi tujuan untuk membantu dan menyantuni golongan Mualaf, semalam.
Menurut Pegawai Dakwah PERKIM Kebangsaan, Tuan Haji Amran Abdullah, beliau berterima kasih kepada pihak MAPIM kerana sudi berkerjasama dalam menganjurkan Program Kongsi Mahabbah Ramadan, malah dia melihat MAPIM sangat prihatin terhadap golongan mualaf dan sentiasa menyokong gerak kerja PERKIM.
“Dalam kalangan mualaf ini perlu diberi sokongan, kerana ada diantara mereka ini yang masuk Islam, diuji dengan pelbagai ujian seperti dibuang keluarga, dipukul dan sebagainya.
“Saya amat menyanjung tinggi dan memuji pihak MAPIM yang selalu memperjuangkan isu ummah jadi kami di PERKIM sebagai satu NGO sentiasa mengikuti perkembangan MAPIM,” katanya dalam majlis penyampaian kotak bantuan makanan semalam.
Beliau berharap, program yang dijalankan ini sebagai satu permulaan yang baik antara PERKIM dan MAPIM untuk melaksanakan pelbagai program lagi buat golongan asnaf pada masa akan datang.
Di samping itu, program satu hari ini, telah disusun atur dengan baik seperti pemeriksaan kesihatan percuma melalui Mobile Clinic, pemberian sumbangan kotak bantuan makanan, dan Mobile Kitchen bagi memberi makanan berbuka secara percuma kepada masyarakat.
Mobile Clinic yang bermula pada jam 9 pagi sehingga 3 petang itu berjaya membantu 64 orang pesakit, dan pihak MAPIM turut menyediakan Mobile Kitchen bagi mengagihkan 200 pek makanan berbuka puasa kepada masyarakat di situ.
Selain itu, pihak MAPIM juga melakukan serahan kotak bantuan makanan sebanyak 100 kotak berisi barang keperluan asas kepada pihak PERKIM untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
Menurut pegawai PERKIM Muhammad Farhan Tee Abdullah, 37, Program Kongsi Mahabbah ini memberi sinar baru bagi golongan mualaf, di mana mereka ini berpeluang mendapat pemeriksaan kesihatan secara percuma, kotak bantuan makanan dan makanan berbuka puasa.
“Saya rasa mualaf dari kalangan asnaf ini sangat gembira apabila menerima bantuan pada hari ini, saya kira makanan itu merupakan aspek yang penting untuk menyambut bulan puasa.
“Pemberian makanan asas daripada MAPIM ini sangat membantu mereka, dan untuk tempoh sebulan ini mereka tidak lagi perlu membeli barangan asas. Malah penganjuran Mobile Clinic dan Mobile Kitchen merupakan idea yang sangat bagus dalam menyantuni masyarakat,”katanya.
Dalam majlis yang serba ringkas ini, pihak MAPIM turut memberikan penghargaan berbentuk cenderahati kepada PERKIM selaku organisasi yang turut menjayakan program ini.
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today