Mangsa banjir di Pahang meningkat
JERANTUT : Mangsa banjir Pahang meningkat kepada 37,420 pagi ini, berbanding daripada 36,844 pada pukul empat pagi semalam.
Temerloh, Bera, Pekan dan Bentong adalah antara daerah yang mengalami peningkatan jumlah mangsa banjir.
Jumlah mangsa bencana juga berkurangan di daerah Jerantut, Lipis, Raub, Kuantan, dan Maran.
Menurut wakil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, terdapat 10,937 mangsa banjir yang ditempatkan di 264 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Seramai 11,703 mangsa daripada 3,315 keluarga dilaporkan di daerah Temerloh membabitkan 79 PPS, berbanding petang semalam seramai 10,806 mangsa daripada 3,034 keluarga di 78 PPS.
“Daerah Bera turut menunjukkan peningkatan 2,184 mangsa membabitkan 623 keluarga di 20 PPS, berbanding semalam 557 keluarga dipindahkan membabitkan 2,017 mangsa di 19 PPS.
“Di Pekan dan Bentong turut menunjukkan peningkatan iaitu 1,571 mangsa daripada 461 keluarga di 21 PPS dan 4,695 mangsa daripada 1,590 keluarga di 17 PPS,” katanya.
Sementara itu, berikutan banjir yang masih belum surut, beberapa lebuh raya di Pahang masih terhad kepada semua kenderaan.
Jalan Jerantut ke FELDA Kota Gelanggi, Jalan Jerantut-Lipis, Jalan Bukit Puas ke Gintong, Jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok ke Jeransong, Jalan Ulu Retang ke Merting dan Jalan Sungai Yap ke Pasir Fare adalah jalan yang masih ditutup di Jerantut.
“Di Raub pula, Jalan Sengkela ke Chenua, Jalan Bentong ke Gua Musang dan Jalan Ulu Renggol manakala di Bentong membabitkan Jalan Karak ke Simpang Pelangai dan jalan utama Mempaga.
“Di Maran, laluan yang ditutup Jalan Maran ke Jerantut, Jalan Serengkam dan Jalan utama Jengka Utara, manakala di Kuantan, Jalan yang ditutup Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan ke Endau, Jalan Air Hitam ke Teluk Mahang, Jalan Panching Utara dan Jalan Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Beberapa laluan di Lipis juga masih ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan iaitu Jalan Bukit Kota ke Aur Gading dan Jalan Lipis ke Jerantut,” katanya.
Beliau juga berkata jalan dari Temerloh ke Kuala Lumpur, Temerloh ke Gemas, Temerloh ke Mentakab dan Jalan Loji Air Batu Sawar semuanya ditutup di Temerloh.
“Di Bera, laluan yang ditutup Jalan Bera ke Temerloh, Jalan Utama Gugusan Bera dan Jalan Bohor Baharu, manakala di Bentong Jalan Karak ke Simpang Pelanggai serta di Pekan, Jalan Mentega ke Terapai,” katanya.