PUTRAJAYA : Malaysia bakal terima sejuta dos vaksin Covid-19 Pfizer sumbangan Amerika Syarikat (AS), esok.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sumbangan vaksin itu dapat mempercepatkan proses Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berjalan dengan menyasarkan 300,000 suntikan mulai bulan ini.
“Malaysia berterima kasih kepada rakan sejawat saya, Setiausaha AS Antony Blinken dan kerajaan Amerika Syarikat dalam kesudian memberi sumbangan vaksin serta bantuan lain sejak COVID-19 melanda negara.
“Amerika Syarikat turut menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada Malaysia sejak bermulanya wabak COVID-19, sumbangan ini termasuk bekalan perubatan, pakaian pelindung diri (PPE) dan peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bernilai AS$250,000 (RM1.04 juta).”
Hishammuddin menjelaskan, Malaysia amat menghargai sokongan Amerika Syarikat dan berharap hubungan dua hala ini akan terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia menyambut baik pengumuman Presiden Joe Biden pada 3 Jun lalu mengenai sokongan untuk mengenepikan sementara perlindungan Harta intelek (IP) terhadap vaksin COVID-19.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi ucapannya di Persidangan Antarabangsa Nikkei pada Mei 2021, menyokong untuk mengenepikan IP demi memastikan akses global adil bagi vaksin COVID-19,” katanya.
Tambahnya, Malaysia sedia menjalinkan kerjasama menyeluruh dengan Amerika Syarikat dalam penyelidikan, pengembangan serta pengedaran vaksin.
Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom / AJ