Semasa

Malaysia sedia jadi tuan rumah Simposium Perdana Haji

JEDDAH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar bercadang membawa Simposium Perdana Haji (Grand Hajj Symposium) yang dianjurkan secara tahunan di Arab Saudi ke Malaysia pada masa hadapan.

Dr Mohd Na’im yang kini dalam lawatan kerja ke Arab Saudi dan menunaikan haji berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah mengenai perkara itu.

“Mungkin kita boleh buat secara rantau ASEAN, kita ketuai di Malaysia… di pihak Tabung Haji (TH) dan di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kita bersedia,” katanya kepada BERNAMA ketika menghadiri simposium berkenaan di sini.

Simposium itu menghimpunkan para cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia untuk berkongsi pengetahuan, penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam semua aspek ibadat Haji.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika menghadiri Simposium Haji yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Jeddah. Kredit foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im

Dr Mohd Na’im berkata, sekiranya simposium tersebut diadakan di Malaysia, ia akan membantu pemain industri haji dan umrah serantau untuk mengambil bahagian dalam perbincangan, selain tidak perlu mengeluarkan kos yang besar untuk ke Arab Saudi.

Selain itu, katanya, TH yang mempunyai 60 tahun pengalaman dalam mengendalikan urusan haji juga boleh berkongsi kejayaannya dengan negara Islam lain.

“Kita pun ramai dalam kalangan pensyarah universiti yang menulis mengenai haji dan umrah dan saya rasa kalau kita buat simposium di negara kita, kita boleh cungkil lagi bakat baharu di Thailand dan Singapura contohnya untuk memberikan idea-idea terbaik,” katanya dan menambah perbincangan boleh terarah kepada kaedah menangani kenaikan kos haji.

Mengenai Simposium Perdana Haji kali ke-47 yang diadakan pada Selasa (20 Jun) itu, Dr Mohd Na’im berkata, kehadiran Malaysia penting bagi mendapatkan maklumat secara terus daripada kerajaan Arab Saudi mengenai usaha yang diperkenalkan negara itu untuk kemudahan bakal haji.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button