DuniaKerohanianSemasa

Malaysia kutuk keras tindakan provokatif fitnah agama Islam

Bantah karikatur hina Nabi SAW

PUTRAJAYA : Malaysia mengutuk keras tindakan retorik serta provokatif yang memfitnah agama Islam, sekali gus sangat memandang serius dan mengambil berat permusuhan terbuka terhadap umat Islam.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memetik beberapa tindakan sedemikian yang dapat disaksikan dunia, baru-baru ini, menerusi ucapan populis dan penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ. Mencemarkan serta mengeji Nabi Muhammad ﷺ melangkaui batas dan tidak menghormati agama Islam!”

“Tindakan itu bersifat provokatif dan tidak menghormati agama Islam serta lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

“Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia selagi ia digunakan secara bertanggungjawab serta penuh hormat, sekali gus tidak menafikan dan melanggar hak pihak lain.

“Dalam konteks ini, mencemarkan dan mengecam Nabi Muhammad SAW yang paling mulia dalam Islam serta mengaitkan Islam dengan keganasan, telah melangkaui batas hak berkenaan.”

Datuk Seri Hishammuddin berkata demikian susulan tindak balas dan kemarahan dunia Islam terhadap kenyataan terbuka Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengenai hak untuk menyiarkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW, yang dianggap sebagai menghina Islam.

Kenyataan Macron pada minggu lalu dibuat sebagai respons terhadap pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris, awal bulan ini, selepas menunjukkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW dalam kelas ketika mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran, iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.

Tambah Datuk Seri Hishammuddin, sebagai negara Islam yang demokratik dan sederhana dengan masyarakat berbilang etnik serta agama, Malaysia akan terus memperjuang dan mengekalkan hubungan damai serta harmoni bukan saja sesama rakyat tetapi juga dalam konteks masyarakat global yang majmuk.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama dan mencegah ekstremisme agama pada semua peringkat,” katanya.- BERNAMA

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button