KUALA LUMPUR: Malaysia dan Bahrain berazam untuk meningkatkan lagi perdagangan dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, kewangan Islam, infrastruktur dan komoditi halal, menurut Kuasa Usaha Kedutaan Bahrain untuk Malaysia, Rashad Farooq Mohamed Saleh Alshaikh.
Rashad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kedutaan semalam menekankan bahawa Malaysia merupakan pasaran import ke-27 terbesar bagi Bahrain dan pasaran eksport ke-20 terbesar.
“Malaysia adalah lokasi strategik di tengah-tengah pasaran Asia Tenggara dengan 676 juta penduduk, yang menawarkan peluang perdagangan kepada syarikat-syarikat bagi mengembangkan rangkaian bekalan dan operasi serantau dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis jamuan tengah hari yang diadakan pada 29 Mei bagi memperingati inisiatif kolaboratif antara kedutaan dan Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain (Bahrain EDB).
Inisiatif ini bertujuan mempromosikan peluang pelaburan di Bahrain dan bertujuan memperkenalkan landskap pelaburan Bahrain yang memberi nilai tambah, berpotensi menarik pelabur tempatan dan antarabangsa susulan nilai pelaburan yang kukuh.
Antara tetamu yang hadir semasa majlis jamuan tengah hari itu termasuk Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Michael Chai, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Edward Cheah dan Presiden Kuala Lumpur Dewan Perniagaan Antarabangsa (KLICC), Prof Hashim Saleh.
Rashad menyuarakan harapannya sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Bahrain dan Malaysia pada tahun depan, dengan menyatakan bahawa perkembangan ini merupakan platform untuk meningkatkan hubungan dua hala dan mengukuhkan kerjasama membabitkan pelbagai sektor seperti ekonomi, budaya, sains, pendidikan, dan pelancongan.
Rashad turut menekankan hubungan ekonomi dan perdagangan yang berkembang pesat antara kedua-dua negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau menjelaskan bahawa perdagangan tidak berasaskan minyak antara Bahrain dan Malaysia mengalami pertumbuhan yang ketara, dengan merekodkan jumlah sekitar US$251.4 juta tahun lalu.
Nilai import Bahrain adalah US$88 juta, manakala jumlah eksport mencapai US$163.4 juta.
Di samping majlis itu, satu webinar bertajuk ‘Melabur di Bahrain’ diadakan, bagi menonjolkan nilai unik Bahrain dan menekankan perbezaan utama yang mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang ideal.
Hubungan dua hala antara Bahrain dan Malaysia telah terjalin sejak 1974, dengan pembukaan kedutaan Bahrain yang baharu di Kuala Lumpur dan beroperasi sejak Julai 2019.