Semasa

‘Mak Jemah’ kembali merewang

Budaya melapah daging berjalan biarpun musim Covid-19

KANGAR : Ini adalah tahun kedua Aidiladha terpaksa disambut dalam suasana Covid-19 yang menuntut pematuhan SOP ketat, biarpun perasaan rindu akan kemeriahan sambutan itu jauh tertanam di lubuk hati.

Tidak lengkap kiranya ibadah korban ini tanpa kehadiran penduduk kampung atau ‘mak jemah’ yang hadir mengimarahkan suasana korban untuk proses melapah daging atau merewang.

Biarpun di kala pandemik Covid-19 melanda, semangat dan ukhuwah yang utuh sesama penduduk kampung tidak pernah terjejas.

Di pusat penyembelihan Kampung Jejawi ini, sukarelawan termasuk penduduk kampung hadir menyertai program ibadah korban. Walaupun tidak ramai kerana bilangan mereka dihadkan bagi mematuhi SOP, tetapi ia tetap mampu menceriakan suasana.

Sukarelawan tidak kira tua ataupun muda hadir membantu dari awal proses penyembelihan, pembungkusan sehingga pengagihan kepada asnaf.

UmmahToday berpeluang menemu bual seorang sukarelawan Nursyafiqah Dayanti, 32 atau lebih mesra dikenali sebagai Fiqah. Baginya, aktiviti merewang ini mendatangkan banyak manfaat untuknya.

Fiqah yang menetap di Kangar mengakui aktiviti merewang ini memberinya banyak ilmu tentang cara pengurusan daging yang betul, selain berkesempatan berjumpa dengan jiran tetangga dan mengeratkan nilai persaudaraan.

“Tambahan, banyak yang saya boleh belajar dengan orang ramai. Kalau sebelum Covid-19 ini memang meriah. Dapat berkumpul beramai-ramai, namun sekarang ini kurang sikit,” katanya.

Buat dirinya yang kini masuk tahun ketiga mengikuti program ibadah korban, Fiqah akui dia amat merindui suasana kemeriahan melapah daging yang dahulunya disertai ramai penduduk kampung.

Selain wanita, para lelaki juga turut sama menyerikan aktiviti rewang ini. Seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Paktam berkongsi kegembiraan pengalaman dengan pertama beliau menyertai program ibadah ini.

“Selalunya korban ini diadakan di masjid-masjid, tetapi tahun ini lain, kita kena patuh pada SOP. Ini pertama kali saya sertai dan tengok sendiri proses korban. Syukur MAPIM  Malaysia anjur program korban di Perlis, seronok saya rasa. Walaupun tak ramai kerana menjaga SOP, namun rindu khidmat  kepada masyarakat terubat.”

Demi menunaikan amanah yang diberikan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menjalankan program ibadah korban bermula semalam hingga hari ini.

Program Ibadah Korban ini bukan sahaja dapat menjadi bukti  pengabdian hamba kepada Sang Pencipta malah, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara sukarelawan MAPIM dan penduduk kampung Jejawi, Perlis.

Menurut Ketua Aktivis MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery :

(Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia

“Raya Korban tahun ini bukan macam dulu-dulu lagi : hantar ucapan dan boleh makan ketupat rendang tetapi tahun ini kita lihat dan rasai betapa ramai keluarga yang hilang pekerjaan dan berjuang untuk sara keluarga. Jadi bila kita bagi daging korban, ada yang sebak dan ada yang terharu. Inilah masanya kita zahirkan semangat kasih sayang sesama kita sebagai keluarga besar Malaysia dengan kongsi rezeki yang diajarkan oleh Islam menerusi Korban ini,” kata (Dr) Sani Araby Al-Kahery

Oleh : Nurshazlin Shahrom

 

 

Related Articles

Back to top button