Majlis Sahih Al-Bukhari menampilkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1445H
KUALA LUMPUR: Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu, 22 Julai 2023 bakal menampilkan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1445/2023M Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad.
Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari mengasaskan dan memimpin Jamia Markaz, dalam bandar ilmu, Markaz Knowledge City di Kozhikode, di Kerala, India.
Beliau yang juga merupakan Mufti Besar India itu akan digandingkan bersama Penasihat Agama Presiden Mesir, Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari.
Esok saya akan menghadiri Majlis Perasmian dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya. Majlis ini juga akan dihadiri oleh Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad, Mufti Besar India dan Sheikh Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari, Penasihat Agama… pic.twitter.com/n7yp3Hcg7o
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) July 21, 2023
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui tweetnya turut mengesahkan kehadiran beliau dalam majlis ilmu bersama 2 tokoh agamawan itu esok.
“Saya ingin menjemput warga Malaysia yang berkelapangan untuk hadir majlis ilmu ini. Semoga majlis ini akan memupuk semangat cintakan ilmu dan menyuburkan budaya, mengukuhkan tradisi ilmu Islam di Malaysia,” kata Perdana Menteri.
Acara Perasmian dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya itu akan bermula 6 petang hingga 9 malam.
BACA JUGA
Agong raikan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan & Antarabangsa 1445H/ 2023M