GOMBAK: Inisiatif Madani Afiat dilihat sebagai langkah serius kerajaan dalam meningkatkan taraf kesihatan masyarakat Malaysia melalui pelbagai inisiatif pencegahan dan khidmat masyarakat.
Adnan Mohd Yatim, 75, yang menerima pemeriksaan kesihatan secara percuma di rumahnya ketika ditemui berkata, program itu membuka ruang untuk dia dan isteri Samsiah Mohamad, 71, mendapatkan saringan kesihatan daripada petugas kesihatan yang terlatih.
Dia yang menghidap ulser saraf di bahagian tumit mengakui keadaan itu telah menyukarkan pergerakan beliau untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan lanjut di pusat kesihatan, justeru program pada hari ini sekali gus memberikan satu kelegaan untuk beliau yang hanya tinggal berdua bersama isteri.
“Bagi saya bagus sebab ia memudahkan dan dapatlah bantu untuk orang-orang yang sudah tidak bekerja dan tua macam saya ni kan…saya rasa Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperluaskan lagi program seperti ini dengan lebih kerap supaya ia dapat mencapai lebih banyak lagi rakyat di bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamaannya berhampiran Dewan Rakyat Batu Caves, selepas program pelancaran Madani Afiat di Dewan Rakyat Batu Caves pada Ahad yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Sebelum itu, Adnan turut menerima kunjungan Dr Zaliha dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sesi tinjauan mesra saringan kesihatan dari rumah ke rumah yang dilaksanakan dengan penglibatan 150 jururawat di kawasan berdekatan.
Antara pengisian program itu pada hari ini ialah aktiviti Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes dan ‘One Hour Malaysia Clean Up’ termasuk reruai yang mempromosikan aspek-aspek penjagaan kesihatan.
Selain itu, Muhammad Mirza Kamil, 24, yang menyertai program e-sukan yang turut diadakan pada Ahad berkata, penganjuran Madani Afiat adalah bertepatan dengan usaha kerajaan dalam mendidik masyarakat agar celik tentang kepentingan penjagaan kesihatan kendiri dan komuniti sekitar selain turut berjaya dalam menarik minat generasi muda untuk hadir menyertai program itu.
Bagi jururawat Masnah Abdul Sali, 31, berkata, penerimaan masyarakat terhadap program itu adalah amat baik dan rata-rata menunjukkan ekspresi gembira ketika beliau dan rakan-rakan hadir bagi melakukan saringan kesihatan seperti memeriksa tekanan darah dan paras gula.
“Ketika sesi tinjauan mesra itu, ada yang sebelum ini tak pernah pun melakukan saringan kesihatan juga tertarik untuk turut serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma…ini satu usaha yang baik terutamanya bagi warga emas yang tak dapat nak pergi klinik untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya,” katanya.
Bagi jururawat pelatih Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Sultan Azlan Shah Perak, Alysa Radhiah Mohd Asri, 25, penglibatannya di dalam sesi tinjauan mesra itu sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada dirinya dalam mempersiapkan diri dalam bidang kejururawatan sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
Katanya, pengalaman melakukan saringan kesihatan dari rumah ke rumah itu membuka peluang kepada beliau untuk menerapkan kemahiran, latihan dan amali yang telah dipelajari serta mengasah kemahiran komunikasi agar mampu berinteraksi dengan baik ketika merawat pesakit.