
YAN 15 April : [VIDEO] إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Penduduk sekitar Pondok Fauzi di Kampung Yan Kechil, Kedah gelisah berdepan kebakaran yang berlaku di lima buah rumah sekitar kawasan pusat pengajian Islam itu kira-kira jam 9.30 malam, semalam.
Pusat pengajian Islam yang ditubuhkan sejak tahun 1971 itu berserta lima buah rumah sekitar, dijilat api hingga mengakibatkan kerosakan hampir 90 peratus berdasarkan penilaian awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.
Tiada mangsa yang terperangkap dilaporkan daripada kejadian itu berikutan kebanyakan penghuni di sekitar pondok sedang menunaikan solat sunat tarawih di surau.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.38 malam.
Operasi tiba di lokasi kejadian tiga minit selepas panggilan, didorong tujuh lagi pasukan anggota bomba yang diketuai oleh pegawai bomba, Muhammad Nor Iman Mustafa serta sebuah jentera dari Light Fire Rescue Team (LFRT) dan satu lagi jentera Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak.
“Kita kemudian memohon bantuan satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Guar Chempedak serta memohon bantuan Pasukan Bomba Sukarela berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini – Mohamadul Ehsan Mohd Zain / Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah
Turut hadir memadam kebakaran ialah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Limau Dalam, Gurun, Guar Chempedak, Padang Lembu, Bedong, Kampung Baru Rangkaian Simpang Empat.
Kejadian kebakaran melibatkan lima buah rumah dua tingkat dan berjaya dikawal pada jam 10 malam.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
اللهم آجِرني في مصيبتي وأَخْلِفْ لي خيرا منها
“Ya Allah, berilah ganjaran atas musibah ini, dan gantikan dengan perkara yang lebih baik”
Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom