Letupan besar di Ghana ragut 17 nyawa, 59 lagi cedera
ACCRA : Sekurang-sekurangnya 17 orang terkorban manakala 59 lagi mengalami kecederaan dalam kejadian letupan besar di barat bandar Ghana yang memusnahkan ratusan bangunan.
Namun, jumlah sebenar mangsa dalam tragedi pertembungan antara trak yang membawa bahan letupan ke lombong emas dengan sebuah motosikal masih belum dapat disahkan.
Menteri Penerangan, Kojo Oppong Nkrumah, dalam satu kenyataan mengesahkan 17 mangsa maut dan 59 cedera setakat ini.
“Berdasarkan hasil siasatan awal, kemalangan berlaku melibatkan sebuah trak membawa bahan letupan, sebuah motosikal dan satu lagi kenderaan menyebabkan letupan berlaku berdekatan dengan sebuah pencawang elektrik.
“Daripada 59 yang cedera, 42 mangsa kini sedang dirawat di hospital atau pusat perubatan berdekatan dengan ada yang dalam keadaan kritikal,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah Pertubuhan Pengurusan Bencana Kebangsaan, Seji Saji Amedonu, berkata 500 bangunan dikesan musnah manakala seorang pegawai kecemasan memberitahu media tempatan bahawa dia melihat 10 mayat.
“Orang ramai dinasihatkan keluar dari kawasan ini ke bandar berhampiran demi keselamatan mereka sendiri sementara usaha pemulihan dijalankan,” kata polis dalam satu kenyataan.
Trak berkenaan dalam perjalanan ke lombong emas Chirano, yang dikendalikan oleh syarikat Kinross berpangkalan di Toronto.
Sementara itu, Presiden Ghana, Nana Akufo-Addo, menerusi ciapan Twitter, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai letupan itu dan mengesahkan terdapat kematian.
“Ia adalah kejadian yang benar-benar tragik dan saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati,” katanya.
– AGENSI