Lelaki obesiti ke hospital potong gelang kuarantin dengan bantuan bomba
bomba sentiasa bersedia
JASIN : Seorang lelaki di Paya Lengkong yang mengalami obesiti terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau bagi membantu mengangkatnya, untuk dibawa ke Hospital Melaka, bagi memotong gelang kuarantinnya.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.57 petang semalam mengenai seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai berat badan 180 kilogram memerlukan bantuan.
“Tujuh anggota lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) bersama-sama sebuah jentera dan lori angkut, tiba di lokasi berkenaan empat minit selepas menerima panggilan daripada pihak hospital.
“Lelaki tersebut yang menjalani perintah kuaratin di rumah selepas dikesan menjadi kontak rapat individu positif COVID-19, dibantu naik ke atas lori menggunakan kain,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya pasukannya mengambil masa kira-kira 10 minit mengusung dan mengangkat lelaki berkenaan, sebelum dipindahkan ke lori untuk dibawa ke Hospital Melaka.
— BERNAMA