KANO: Seorang lelaki Nigeria ditahan pihak berkuasa kerana bertindak melelong dirinya bagi membebaskan diri dari dibelenggu kemiskinan, lapor BBC.
Polis agama Islam di utara Nigeria menahan Aliyu Idris, 26 selepas gambarnya memegang plakad tular di media sosial mempamerkan tawaran harga dirinya sebanyak 20 juta naira bersamaan RM202,598.
Ketua Polis Agama Islam (Hisbah) Komander Sheikh Harun Ibnu Sina, menyifatkan perbuatan Aliyu itu salah disisi agama.
“Kami menahannya kerana melelong diri sendiri iaitu diharamkan di bawah undang-undang Islam.
“Dia kini berada di bawah jagaan kami,” katanya.
Hisbah turut membuat penilaian mental dan mendapati lelaki berkenaan dalam keadaan waras.
Bagaimanapun, menurut Hisbah, Idris tidak didakwa atas kesalahan itu sebaliknya diberikan kaunseling.
Dilaporkan Kano antara 12 negeri di utara Nigeria yang majoritinya penduduk beragama Islam, dan melaksanakan undang-undang syariah bersama undang-undang sivil.
Jurucakap polis agama Islam (Hisbah), Lawal Ibrahim Fagge berkata Idris meninggalkan kampung halaman dan berpindah ke Kano untuk mencari pekerjaan tetapi gagal.
Idris yang juga berasal dari Kaduna dan bekerja sebagai tukang jahit mengelilingi bandar raya dan melelong dirinya menggunakan plakad yang tertulis tawaran jualan.
Penduduk tempatan berkongsi gambar pemuda itu secara dalam talian sehingga menimbulkan kekecohan.
Menurut pemuda itu, dia terpaksa melelong diri untuk keluar daripada kemiskinan dan berhasrat untuk memberikan separuh wang itu kepada ibu bapanya, serta dua juta naira (RM20,221) untuk sesiapa yang membantu menjayakan siri lelongan itu.
Dia turut berjanji akan menjadi ‘hamba yang setia’ kepada pembelinya.
Oleh Nurshazlin Shahrom